Monday 30 April 2012

Makan di luar secara bijak

Makan di luar secara bijak

Pernahkah anda mengira berapa kali anda makan di luar bersama dengan keluarga dalam seminggu? Setiap hari bermula Isnin hingga Jumaat, kanak-kanak makan di kantin sekolah, manakala pelajar-pelajar kolej melepak dan makan di kafeteria.

Golongan dewasa yang 
bekerja pula makan tengah hari di restoran dan kedai kopi.

Pada hujung minggu, ramai yang menyertai "fenomena gerai mamak" dengan rakan-rakan dan keluarga. Kadang-kadang mereka akan duduk di gerai mamak untuk menonton perlawanan bola sepak sehingga awal pagi.

Menurut Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Dr. Tee E Siong, kebanyakan penduduk di kawasan bandar menjalani rentak kehidupan yang pantas dan sibuk lalu mengalami kekurangan atau tiada masa untuk menyediakan hidangan yang sihat di rumah.

Ini menyebabkan semakin ramai keluarga yang makan di luar dan kanak-kanak pula mengambil banyak makanan segera.

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan makanan di luar telah meningkat dengan peningkatan pendapatan isi rumah.

Umumnya, makanan yang kita pilih apabila makan di luar mengandungi lebih kalori, lemak dan lemak tepu daripada makanan dan snek yang disediakan di rumah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Dietetik Malaysia (MDA), Indra Balaratnam memberitahu, terdapat banyak bahan yang tersembunyi dalam masakan di luar seperti lemak, gula dan garam.

“Kajian juga menunjukkan bahawa makan di luar secara kerap ada kaitan dengan masalah obesiti, lemak badan atau Indeks Jisim Tubuh (IJT) yang lebih tinggi.

“ Pengambilan makanan di luar juga ada kaitan dengan pengambilan minuman tinggi gula secara berlebihan dan kurang pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan produk tenusu,” jelas Indra Balaratnam.

Makanan yang sihat


"Makan secara sihat di luar bukanlah sesuatu yang sukar. Apa yang perlu anda buat adalah 
membuat pilihan makanan secara bijak dan mengunjungi tempat-tempat di mana anda boleh minta makanan yang lebih sihat dan rendah lemak.

“Cuba minta makanan yang disediakan dengan kandungan gula dan garam yang rendah,” nasihatnya.

Beliau menambah, setiap 
orang mesti mengamalkan tiga prinsip utama makan secara sihat iaitu makan secara seimbang, sederhana dan pelbagai berdasarkan Piramid Makanan Malaysia.

Tip makan di luar:

1) Minta hidangan daging, ayam dan ikan yang disediakan dengan cara panggang, bakar dan rebus.

2) Minta lebih buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai hidangan sampingan untuk menggantikan kentang goreng.

3) Minta supaya sos disediakan secara berasingan.

4) Minta hidangan yang bersaiz kecil atau kongsi makanan dengan rakan-rakan anda.

Panduan Menjaga Kesihatan (Gula)


Panduan Menjaga Kesihatan 

Seringkali kita menggambarkan gula sebagai gula pasir atau gula merah yang dijual di kedai-kedai.

Hakikatnya, gula juga terdapat dalam gula mentah, madu, sirap jagung dan sirap pekat. Dari 
segi kimia, gula boleh hadir dalam bentuk glukosa, sukrosa, dektrosa, laktosa, fruktosa dan maltosa. Gula pasir terdiri daripada 100 peratus sukrosa.

Secara semula jadinya, gula wujud secara semula jadi dalam beberapa jenis makanan, contohnya buah-buahan, sayur-sayuran berkanji, susu dan hasil tenusu.

Sebaliknya, gula yang hadir secara tersembunyi yang ditambah pada makanan semasa memproses dan menyediakan makanan di rumah. Contohnya, minuman kordial, minuman bergas, minuman bergula, gula-gula serta kuih-muih tradisional.

Gula terhasil dari 
proses makanan berkarbohidrat di dalam badan. Ini bermakna kita tidak memerlukan gula tambahan.

Terdapat dua masalah kesihatan utama akibat pengambilan gula berlebihan seperti:

Menyebabkan kegemukan. Kegemukan merupakan satu 
risiko yang berkait rapat dengan diabetes, darah tinggi dan penyakit jantung.

Menyebabkan terjadinya 
karies gigi (kerosakan gigi). Setiap kali anda meminum atau memakan makanan yang mengandungi gula, bakteria yang terdapat pada permukaan gigi anda akan menggunakan gula ini untuk menghasilkan asid. Jika dibiarkan, asid ini akan merosakkan gigi anda.

Keperluan gula dalam sehari

Secara purata sebanyak 24 sudu teh (120 gram) gula termasuklah gula tersembunyi diambil sehari oleh setiap 
individu di Malaysia. Ini adalah 2.5 kali lebih tinggi dari yang disarankan.

Pengambilan gula yang sederhana dalam sehari adalah dalam lingkungan 10 sudu teh (50 gram) termasuklah gula yang ditambah atau tersembunyi.

Kandungan gula dalam makanan

Jenis makanan/minuman Gula (sudu/teh) 

* Minuman bergas (tin 435ml) 9
* Sepotong pai epal (200 gram) 9
* Kordial (segelas) 5
* Minuman kotak (285 ml) 5
* Aiskrim (satu skop) 4
* Jem (sesudu makan) 3
* Bijirin sarapan manis (secawan) 3
* Kuih koci (50 gram) 2
* Kuih seri muka (50 gram) 1
* Biskut berkrim (sekeping) 1

Panduan kurangkan gula

* Kurangkan memakan makanan manis seperti kek, biskut, aiskrim, coklat, kuih-muih dan bijirin bersira.

* Lebihkan meminum minuman air kosong, kurangkan pengambilan minuman manis atau bergas.

* Kurangkan atau elakkan terus penggunaan gula dalam minuman kopi atau teh.

* Kurangkan gula dalam resipi anda. Contohnya, kandungan gula dalam resipi kek boleh dikurangkan sehingga separuh tanpa menjejaskan rasa atau kualiti.

* Baca 
label pada produk. Pilih produk dengan kandungan gula yang lebih rendah atau mempunyai label tanpa gula tambahan.

* Makan buah-buahan segar sebagai pencuci mulut. Sekiranya membeli buah-buahan dalam tin, pilihlah buah-buahan dalam tin yang menggunakan air atau jus semula jadi. Elakkan buah-buahan yang ditinkan dalam sirap pekat.

* Telitilah kandungan gula pada label produk kerana terdapat pelbagai nama gula pada label makanan seperti glukosa, sukrosa, dektrosa, maltosa, madu, sirap jagung dan sirap pekat.

* Produk yang mengandungi nama-nama gula ini pada labelnya menunjukkan terdapatnya gula tambahan. Berhati-hati apabila anda 
membuat pilihan.

Jogging bahayakan kesihatan?

Jogging bahayakan kesihatan?
Senaman perlu kerap dilakukan kerana ia adalah sebahagian daripada usaha yang dilakukan untuk mengekalkan kesihatan diri.

Dan ramai 
orang yang mahu sentiasa kelihatan segar dan sihat. Oleh itu, mereka berjogging. Bagaimanapun jogging bukan saja memberi banyak manfaat, ia juga boleh membahayakan.

Di sini adalah beberapa perkara yang perlu diketahui oleh mereka yang ingin memulakan senaman dengan berjogging: Ada beberapa sebab mengapa jogging berbahaya dan bagaimana ia boleh merosakkan kesihatan anda.

* Jika anda berjogging di jalan raya, anda akan menghadapi 
risiko dilanggar. Di Amerika Syarikat, Persatuan Automobil pernah melaporkan dalam tempoh 12 bulan saja, 8,300 orang yang berjogging terbunuh dilanggar kereta manakala 100,000 lagi cedera. Untuk menggelakkan risiko ini, anda perlu berjogging jauh daripada kawasan kenderaan atau sekurang-kurangnya pastikan anda memakai pakaian yang mempunyai tanda-tanda amaran keselamatan jalan raya ketika keluar pada waktu malam.

* Berjogging di jalan yang bengkang-bengkok boleh menyebabkan ketegangan di bahagian penyambung anggota 
badan anda. Salah satu kaki anda akan mengalami ketegangan dan sebelah lagi pula akan mengalami sedikit kekejangan.

* Sakit belakang adalah masalah yang sering dialami di kalangan mereka yang berjogging, khususnya yang berlari di kawasan yang sama rata. Dalam satu masa, tulang belakang anda akan menerima kira-kira 10,000 pusingan pelakuan yang 
tangkas. Akhirnya, anda akan mengalami sakit belakang yang berpanjangan.

* Sakit jantung adalah penyakit yang biasa dihadapi oleh golongan pertengahan umur yang tidak sihat dan berjogging tanpa latihan teratur. Dilaporkan satu punca utama mengapa mereka yang tidak sihat dilatih berjogging berduaduaan adalah untuk memudahkan salah seorang itu mendapatkan bantuan ambulans sekiranya rakannya diserang sakit jantung.

* Tekanan di sesetengah bahagian pada tulang kaki adalah biasa khususnya di kalangan pelari yang kurang pengetahuan dalam teknik itu. Untuk meminimumkan risiko itu, pelari sepatutnya mengganggotai kelab yang baik dan meminta nasihat daripada jurulatih yang bertauliah.

* Jangan berlari jika terasa sakit. Anggota badan yang sakit itu adalah tanda bahawa anda harus BERHENTI. Jika anda tidak memperdulikan amaran itu dan terus berlari, anda akan mengalami kerosakan anggota yang kekal dan mungkin juga menemui ajal.

* Denyutan jantung yang berlebihan akibat terlalu banyak berjogging boleh merosakkan hati dan jantung anda dan pertukaran hormon yang dikeluarkan juga boleh menjejaskan kehidupan seks anda.

* Setiap kali kaki anda terhentak ke tanah, tulang dan penyambungnya menghadapi risiko rosak. Bagi mengurangkan risiko kecederaan yang teruk, pastikan anda berlari dalam keadaan yang selesa, memakai kasut yang mempunyai tapak sesuai untuk tahan menerima hentakan kaki yang berulangkali.

* Berlari boleh menyebabkan anda ketagih. Apabila anda berlari, tubuh anda akan mengeluarkan sejenis hormon yang dikenali sebagai endorfin dan ia adalah sama dengan sejenis dadah 
heroin serta morfin, apabila seketika akan membuatkan anda ketagih.

Beberapa sebab mengapa berjogging adalah baik untuk anda bagaimana ia dapat membantu kesihatan:

* Jogging membantu menguatkan bahagian cecair penyambung otot-otot, melenturkannya dan menolong mencegah serangan penyakit arteritis apabila tua.

* Senaman yang kerap akan meningkatkan kuasa dan kekuatan denyutan jantung dan mengurangkan kemungkinan serangan sakit jantung. Jogging juga baik, wajar sebagai salah satu senanam diperlukan oleh anda.

* Jika anda terlalu gemuk, anda boleh membakar kalori yang tidak diperlukan dengan berjogging.

* Kadar denyutan otot anda dapat dipertingkatkan dengan 
membuat senaman yang kerap dan ia juga dapat mengurangkan risiko menghadapi kekejangan atau masalah lain.

* Jika anda menghadapi sistem pencernaan yang tidak baik, pedih hulu hati atau masalah yang seakan-akan dengannya, senaman yang kerap membantu anda menyelesaikan masalah berkenaan dan seterusnya melindungi anda daripada masalah akan datang. Dengan membantu mengurangkan tahap tekanan, jogging juga boleh menolong mencegah penyakit ulcer.

* Sistem pernafasan anda dibantu dengan berjogging. Untuk memastikan larian betul, anda perlu belajar bernafas.

* Dengan memperuntukkan satu hingga dua jam seminggu untuk berjogging, anda boleh menghalang berlakunya tekanan dan ketegangan yang dialami setiap hari. Ingat! Tidak ramai orang berjogging membawa bersamanya 
telefon bimbit. Jogging adalah satu cara yang baik untuk menghapuskan tekanan. Jika kerja anda membuatkan anda sentiasa tertekan, jogging adalah elok untuk merehatkan anda.

Senaman di Pejabat

Senaman di Pejabat


Seharian  bekerja sudah tentu meletihkan dan apabila pulang ke rumah, apa yang terfikir hanyalah berehat sambil menonton televisyen atau bersama keluarga.

Sudah tentu, dengan rutin ini, anda hampir tiada masa untuk bersenam atau mengamalkan gaya hidup yang sihat kerana kekangan waktu. Cuba fikirkan anda berada di pejabat dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Malah, ketika pulang 
pula terpaksa menghadapi kesesakan jalan raya dan boleh dikatakan sebahagian waktu anda dihabiskan tanpa melakukan regangan atau senaman.

Apatah lagi anda terperuk di dalam pejabat dan kereta yang mempunyai hawa dingin. Sedikit sebanyak ia turut menjejaskan kesihatan anda dan menjadikan anda seorang yang tidak sihat.

Cara yang terbaik untuk mengekalkan anda sentiasa sihat selain menjaga pemakanan adalah melakukan regangan ringkas atau senaman. Berikut dikongsi tip senam mudah yang boleh dilakukan di pejabat:

* Gunakan tangga dan kurangkan penggunaan lif atau ketika makan tengah hari amalkan untuk berjalan ke restoran berdekatan pejabat anda.

* Ketika duduk, gunakan teknik arm strengthen di mana anda hanya perlu duduk tegak di kerusi anda dan bawa tangan anda ke depan kemudian tegakkan tapak tangan anda ke atas.

* Genggam telapak tangan yang ditegakkan ke atas menggunakan tapak tangan sebelah lagi. Perlahan-lahan turunkan tangan dan pastikan kedudukan tangan tidak berubah untuk menguatkan otot lengan. Lakukan beberapa kali dan ulang langkah yang sama pada tangan sebelah lagi.

* Anda juga boleh mengamalkan teknik wrist movement di mana masih lagi dalam kedudukan tegak. Rapatkan kedua-dua telapak tangan ke bawah dagu. Bengkokkan pinggang ke sebelah kiri anda, selama tiga hingga empat saat. Tegakkan semula badan dan bengkokkan semula pinggang ke sebelah kanan pula.

* Manakala teknik back 
twist pula memerlukan anda duduk tegak dan bukakan sedikit ruang di belakang anda di bahagian pinggul. Letakkan tangan kanan di belakang pinggul sebelah kiri. Pusingkan pinggang anda ke sebelah kiri dan kekalkan kedudukan itu hingga tiga hingga empat saat. Ulang langkah di sebelah kanan pula.

Malah anda masih lagi boleh melakukan senaman ringkas sebegini ketika menghadiri mesyuarat panjang atau sedang melakukan perbincangan bersama dengan rakan sekerja.

Sehubungan itu, tiada lagi alasan untuk menyatakan anda tiada masa untuk melakukan senaman kerana sibuk dan kerap pulang lewat ke rumah.

Jika pejabat anda mempunyai gimnasium, gunakan peluang ini sebaiknya dan luangkan kirakira 20 minit untuk melakukan senaman ketika waktu rehat atau sebelum pulang ke rumah.

Bagi memastikan anda sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, apa kata ajak rakan sekerja melakukan senaman bersenam. Pasti ini lebih menyeronokkan!

KAJIAN KESIHATAN DAN MORBIDITI KEBANGSAAN (NHMS) : 5.8 JUTA BERISIKO STROK


KAJIAN KESIHATAN DAN MORBIDITI KEBANGSAAN (NHMS) : 5.8 JUTA BERISIKO STROK



5.8 juta berisiko strok
Keengganan melakukan pemeriksaan doktor secara berkala menyebabkan kira-kira 3.9 juta rakyat negara ini tidak mengetahui mereka menghidap hipertensi atau darah tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hassan Abdul Rahman berkata, jumlah itu membimbangkan kerana darah tinggi adalah `pembunuh senyap' yang boleh membawa kepada serangan jantung atau strok.

Beliau berkata, jumlah itu adalah dua pertiga daripada kira-kira 5.8 juta rakyat negara ini berusia lebih 30 tahun yang dikesan menghidap hipertensi hasil keputusan awal Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011.

"Kajian juga menunjukkan hanya kira-kira 1.9 juta daripada jumlah itu tahu mereka menghidap darah tinggi dan menjalani rawatan berterusan. Daripada jumlah ini pula, hanya 27 peratus berjaya mencapai tahap tekanan darah 140/90.

"Kita bimbang dengan jumlah 3.9 juta ini dan tidak tahu siapa mereka. Jadi, saya nasihatkan rakyat negara ini yang berusia lebih 30 tahun segera melakukan pemeriksaan kesihatan jika sebelum ini tidak pernah melakukannya," katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Saintifik Tahunan Kesembilan Persatuan Hipertensi Malaysia, di sini, semalam.

Dr Hassan berkata, kajian juga menunjukkan masih ramai rakyat negara ini belum melakukan ujian saringan kesihatan secara tetap dan berkala.

"Penghidap hipertensi tidak tahu mereka dijangkiti penyakit itu kerana ia tidak memiliki sebarang tanda. Sebab itu, orang ramai terutama berusia lebih 30 tahun perlu kerap menjalani ujian saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali," katanya.

Beliau berkata, negara ini mempunyai 813 klinik kesihatan dan lebih 6,000 klinik swasta menunjukkan alasan sukar mendapatkan rawatan tidak boleh diambil kira. Ia tidak termasuk sebanyak 150 Klinik 1Malaysia yang dibuka setiap hari termasuk cuti umum.

Selain itu, orang ramai digalakkan menjalani kehidupan sihat dengan melakukan senaman dan mengawal pemakanan bagi mengelak risiko dijangkiti penyakit berkenaan.

"Bagi individu yang mempunyai faktor risiko seperti sejarah anggota keluarga menghidap hipertensi, gaya hidup tidak aktif dan wanita yang mempunyai sejarah diabetes ketika hamil, perlu menjalani ujian saringan seawal usia 20 tahun," katanya.

Menurutnya, bagi menjalani kehidupan sihat, orang ramai digalakkan melakukan senaman dengan berjalan kira-kira 10,000 tapak sehari dan hanya mengambil 2,000 kalori sehari.


Tangani stres sihat sepanjang hayat


Tangani stres sihat sepanjang hayat
Kemarahan adalah satu masalah utama emosi akibat 
stress.

Stres ialah tindakbalas fizikal, emosi dan mental kepada perubahan. Kita semua mengalami stres di rumah, sekolah atau tempat kerja.

Kita perlu sedikit stres untuk berfungsi secara berkesan. Adakalanya stres boleh juga menjadi faktor motivasi terhadap perkembangan hidup seseorang.

Stres yang keterlaluan boleh menjejaskan kesihatan.

Kenapa anda stress?

* Diri sendiri (contoh: Anda kecewa, anda tidak dapat apa yang anda mahu)

* Keluarga anda (contoh: Masalah dengan suami/isteri dan anak, pindah rumah, masalah 
kewangan)

* Pekerjaan anda (contoh: Anda tidak dapat menyiapkan kerja, anda tidak cemerlang dalam kerja, ketua anda tidak berpuas hati dengan kerja anda, anda tidak dinaikkan pangkat, tukar kerja, dibuang kerja)

* Komuniti anda (contoh: Jiran dan komuniti tidak ramah)

Bila anda rasa stress...

* Jantung berdengup kencang dan sukar bernafas

* Anda cepat marah

* Anda rasa tidak gembira

* Anda kehilangan selera makan

* Anda hilang minat 
bekerja

* Anda tidak lagi menikmati hobi

* Anda tidak cukup tidur

* Anda menengking-nengking

* Anda ingin membaling sesuatu

* Anda cuba menjauhkan diri

Apa yang harus dilakukan apabila anda marah:

* Menyedari yang anda sedang marah... Katakan: "Saya sedang marah"

* Bertenang... kira hingga 10, tarik nafas panjang dan mengucap

* Kenai pasti kenapa anda marah

* Cuba dengar penjelasan 
orang lain

* Jangan berkata sesuatu untuk menyakitkan hati atau menghukum orang lain

* Anda perlu beredar jika tidak dapat mengawal kemarahan

* Berbincang dengan orang lain jika tidak mampu mengendalikan kemarahan

* Membiasakan diri memaafkan - menerima kenyataan bahawa manusia juga melakukan kesalahan

Kuasai kemahiran untuk menyelesaikan masalah cara IDEAL

I - Kenal pasti masalah (Identify the 
problem)

D - Jelaskan pilihan yang boleh diambil (Describe possible options)

E - Buat penilaian bagi setiap cadangan - baik dan buruknya (Evaluate consequences of each option - the pro's and con's)

A - Bertindak - pilih satu cara untuk bertindak (Act)

L - Belajar dari pengalaman sama ada hasilnya berjaya atau tidak (
Learn)


Cara mengurangkan kemungkinan untuk marah

* Berfikir secara positif

* Jangan salahkan orang lain apabila berlaku kesilapan

* Belajar menyukai diri sendiri

* Usahakan yang terbaik daripada apa yang anda ada

* Belajar menerima apa yang tidak dapat diubah

* Jangan risau tentang kekurangan yang ada Bertenang

* Lakukan senaman selalu

* Adakan hobi

* Luangkan masa untuk keluarga, kerja dan beriadah

* Dapatkan tidur yang cukup

* Dapatkan teman untuk meluahkan masalah

* Bersifat asertif. Berani berkata "TIDAK" untuk kegiatan luar, jemputan atau temu janji yang anda tiada masa untuk hadiri

* Tetapkan matlamat yang realistik untuk diri anda. Tidak semua anda dapat kecapi. Sedarilah bahawa tidak semua perkara penting seperti yang anda sangkakan

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Terapi senaman

Terapi senaman
Individu yang bersenam secara kerap atau berterusan akan memberitahu mereka berasa lebih baik selepas melakukan aktiviti itu. Ini dipercayai disebabkan maklumat yang disampaikan ke otak turut merembeskan hormon yang dikenali sebagai neurotransmitter. Hormon ini dipercayai membantu mempengaruhi perasaan dan emosi.

Melalui aktiviti bersenam, ia secara tidak langsung boleh membuatkan kita berasa lebih baik dan berjaya mengurangkan tekanan. Walaupun tiada bukti saintifik untuk menyokong teori ini, senaman membuktikan melalui aktiviti ini, kita dapat mengurangkan tekanan serta melegakan fikiran.

Berikut adalah empat cara senaman yang membantu mengawal tekanan:

1. Senaman boleh membantu merasa kurang gementar.

Senaman menjadi satu cara dalam membantu menangani dan merawat masalah ketegangan minda. Hanya dengan mengikuti satu sesi senaman, pakar perubatan mendapati bahawa ada pengurangan ketegangan di dalam otot melalui aktiviti fizikal yang aktif.

Menurut kajian itu lagi, seseorang dapat mengurangkan rasa gugup dan hiperaktif selepas satu sesi senaman.

2. Senaman boleh membuatkan anda relaks

Satu sesi senaman boleh menghasilkan 90 sehingga 120 minit tindak 
balas yang relaks selepas bersenam. Sesetengah orang menggelarkan kaedah itu sebagai tindak balas `endorphin'. Sebagaimana yang diketahui bahawa ada banyak `neurotransmitter' bukan saja `endorphin' yang terbabit. Ia meningkatkan mood dan melegakan anda.

3. Senaman boleh membuatkan anda berasa lebih baik terhadap diri sendiri

Cuba anda renung kembali keadaan selepas anda melakukan senaman. Bukankah anda berasa lebih baik terhadap diri sendiri dan merasa lebih yakin? Perasaan yakin pada diri banyak menyumbang kepada kelegaan.

4. Senaman boleh membuatkan anda makan lebih baik orang yang bersenam secara kerap cuba untuk mengambil makanan bernutrisi dan berkhasiat disebabkan tidak mahu memusnahkan apa yang dilakukan ketika bersenam. Bukan lagi suatu 
rahsia di mana setiap nutrisi yang baik dapat membantu tubuh mengawal tekanan dengan lebih baik.

GARIS panduan di bawah ini boleh melindungi anda daripada kecederaan akibat senaman dan membolehkan anda bersenam secara menyeronokkan.

1. Dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan 
program senaman kecergasan.

2. Mulakan senaman dengan perlahan dan tingkatkan secara beransuransur untuk beberapa minggu bila anda semakin lebih cergas. Mulakan senaman berselang seli 2 - 3 minit, dengan 2 - 3 minit berehat selama 15 minit. Aktiviti senaman perlu ditambah 2 - 3 minit setiap minggu sehingga mencapai 30 minit.

3. Mulakan dengan aktiviti memanaskan badan untuk mengelak rasa sakit dan kesakitan selepas senaman.

4. Menyejukkan badan dengan 
membuat aktiviti ringan seperti berjalan atau melakukan regangan bagi mengelakkan pening dan sakit.

5. Perlahankan aktiviti anda jika anda mengalami kesukaran bernafas ketika melakukan senaman.

6. Berhenti dengan serta-merta jika anda mengalami:

* Ketidakselesaan

* Sakit

* Pening

7. Pakaian mestilah bersesuaian, longgar dan selesa serta pakai kasut yang sesuai.

8. Masa yang paling sesuai untuk melakukan senaman:

* Setiap pagi (sebelum 9.30 pagi waktu 
Malaysia)

* Petang (selepas pukul 6 petang)

9. Persekitaran tempat senaman:

* Permukaan yang rata.

* Suhu dan kelembapan udara terkawal.

* Kawasan redup/teduh.

* Tempat yang cukup terang.

10. Pastikan anda mengambil minuman yang secukupnya, sebelum, semasa dan selepas senaman untuk menggantikan kehilangan peluh.

11. Amalkan senaman pernafasan di antara senaman.

12. Jika anda pengidap penyakit

DIABETES:

* Bawa gula-gula/manisan bersama anda. Makan sekiranya anda berasa pening kerana keadaan hipoglisemia (paras glukos rendah).

* Pakai kasut yang berlapik dan selesa, bersarung kaki untuk mengelak kecederaan kaki.

* Jangan melakukan senaman semasa lapar atau kenyang.

13. Jika anda menghidap

Tekanan Darah Tinggi:

* Berhenti bersenam jika pening, sakit dada dan sukar bernafas.

14. Jika anda gemuk:

* Jangan lakukan senaman yang terlalu agresif dan cuba minimakan pergerakan yang berimpak tinggi bagi mengelakkan kecederaan pada otot.

KEMAMPUAN BERSENAM

1. Ujian Percakapan: Perlahankan intensiti anda sekiranya anda sesak nafas bila bercakap semasa bersenam. Tingkatkan intensiti anda sekiranya anda masih mampu bergelak semasa bersenam.

2. Kira Sasaran Denyutan Jantung Anda : 220 - umur x 60% Denyutan Jantung.

Contoh: Jika umur anda 70 tahun 220 - 70 > 150 150 x 0.60 > 90 150 x 0.90 > 135

* Cuba kekalkan denyutan jantung di antara 90 dan 135 seminit.

* Dapatkan nasihat doktor jika:

3 Denyutan jantung semasa berehat berdekatan atau melebihi sasaran denyutan jantung anda.

4. Anda sedang mengambil rawatan ubatan yang boleh memperlahankan denyutan jantung.

* Untuk mendapatkan denyutan jantung anda. Mempalpat denyutan nadi di pergelangan tangan selari dengan pangkal ibu jari.

* Untuk mengira denyutan jantung anda, mempalpat denyutan nadi selama 10 saat. Keputusannya digandakan dengan 6.

Sumber: Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan

Cara Mengawal Kencing Manis (Diabetes)


Cara Mengawal Kencing Manis (Diabetes)


Dr. Noraziah Abd. Kadir Jailani.
Pakar Perubatan Am dan Dermatologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor.

Perubahan Cara Hidup

Perubahan cara hidup mampu mengelakkan kencing manis dan mengawal tahap gula dalam darah. Pesakit kencing manis dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan dan mengawal kencing manis dengan melakukan beberapa perkara seperti di bawah.
  • Pemakanan
    Pemakanan berkarbohidrat dan gula seharusnya dikurangkan supaya pengambilan kadar kalori pada sesehari itu terkawal. Berbincanglah dengan doktor atau pakar pemakanan untuk cara diet yang terkawal.
  • Senaman
    Senaman penting untuk membantu mengurangkan berat badan dan juga menambahkan kesihatan jantung dan paru-paru (kardiorespiratori). Senaman perlu dimulakan secara beransur-ansur dan dengan nasihat doktor.
  • Penjagaan berat badan
    Pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan akan mendapati tahap gula dalam badan sukar dikawal. Terdapat pesakit yang boleh menghentikan ubat kencing manis apabila berat badan dapat dikawal.
  • Pemeriksaan diri sendiri
    Pesakit kencing manis dinasihatkan membuat pemeriksaan sendiri terutamanya pada jari dan kaki yang kebas untuk tanda luka atau jangkitan kerana deria rasa sakit berkurangan. Ini membolehkan rawatan awal agar jangkitan tidak merebak.
Pemeriksaan Doktor dan Ubat

Pemeriksaan oleh doktor untuk memastikan kadar gula dalam darah mesti dilakukan secara berterusan. Ini membolehkan penghidap kencing manis memastikan bahawa tahap gula dalam darah adalah terkawal. Dianggarkan bagi setiap 1 peratus pengurangan kadar ujian darah A1 C, mampu menurunkan masalah berkaitan kencing manis sebanyak 40 peratus. Penjagaan anggota kaki dan tangan mampu mengurangkan kes anggota badan perlu dipotong disebabkan oleh komplikasi jangkitan sebanyak 45 hingga 85 peratus.

Kekerapan membuang air kecil boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
- Kencing manis yang tidak terkawal dan tahap gula tinggi dalam darah
- Jangkitan kuman atau kencing kotor
- Kerosakan buah pinggang
- Masalah pundi kencing sama ada gangguan saraf atau masalah pundi kencing seperti pundi kencing yang terlalu aktif, disyorkan agar berjumpa doktor untuk pemeniksaan selanjutnya.

Selamatkan Anak-anak Daripada Penyakit Depresi


Selamatkan Anak-anak Daripada Penyakit Depresi


Oleh Dr. Tam Cai Lian
Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampus Petaling Jaya, Selangor


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgk9WTdzUNz0taVsd4XxM-SfQxSG7IpyddsBg9UugwHoquPWAwxXxiRFG8ThFL3sPvYzdmiAwkzH2zxEscpQaUaoLaPDxLJAx6GoEayxJ26eRlttC5rbn1T1iZHgZ95VQuwDgncgb_3yy3w/s400/depresi.jpg"Cikgu tolonglah saya. Saya rasa nak mati sahaja. Kebelakangan ini saya tidak dapat belajar, tidak dapat tidur. Kehidupan sudah tidak bererti!". Begitulah keluhan dan aduan daripada seorang murid atau pelajar kepada gurunya.

Bagi mereka yang profesionnya ialah guru, kaunselor, pensyarah, pakar psikologi ataupun pekerja sosial, pasti pernah menerima aduan yang sama. Dalam kebanyakan kes, pelajar sebenarnya menghadapi masalah depresi (kemurungan). Keadaan sedemikian menjadi agak lumrah terutama sekali ketika pelajar menghadapi peperiksaan. Apatah lagi dengan harapan yang menggunung tinggi daripada ibu bapa.

Sejak di bangku sekolah rendah, anak murid telah disemai dengan ajaran bahawa keputusan peperiksaan yang cemerlang akan menjamin masa depan yang gemilang. Mereka belajar bermati-matian dengan harapan untuk memperoleh bilangan A yang maksimum. Namun hakikatnya, sistem pendidikan kita yang terlalu menekankan keputusan peperiksaan telah menimbulkan kecelaruan emosi di kalangan pelajar.

Ramai di antara mereka disyaki telah menghidap penyakit depresi akibat tekanan daripada ibu bapa dan juga guru sekolah. Contohnya, menurut laporan Persatuan Pakar Psikiatri Malaysia pada tahun 2005, hampir 2,500 orang membunuh diri setiap tahun dan kebanyakan daripada mereka menghidap penyakit mental.

Selain itu, Setiausaha Parlimen, Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon turut menyatakan bahawa terdapat tujuh orang rakyat Malaysia yang mengidap penyakit mental setiap hari.

Apabila seseorang menghidap penyakit depresi, adakah terdapat tanda-tanda yang signifikan? Menurut Coyne, 2,000, kecelaruan emosi merupakan kecelaruan psikologikal yang menghasilkan gangguan emosi.

Gangguan emosi ini berterusan sehingga menjejaskan kognitif dan tingkah laku individu tersebut serta menghadapi kesukaran dalam mengendalikan skil interpersonalnya. Secara keseluruhan, kecelaruan emosi terbahagi kepada dua iaitu kecelaruan depresif (depressive disorder) dan kecelaruan bipolar (bipolar disorder).

Pernah berlakunya kes di sekolah menengah yang mana keadaannya adalah seperti berikut:
Susan berasa murung untuk beberapa bulan secara berterusan. Tidak ada apa-apa perkara istimewa yang boleh menggembirakan jiwanya.

Menurut aduannya: "Saya tidak dapat melakukan apa-apa. Otak saya kosong, namun berasa amat letih dan tidak bermaya. Peperiksaan SPM sudah menjelang tiba, saya cuba membaca, tapi tumpuan saya hanya hinggap di muka surat yang sama. Saya tidak dapat ingat dan rasa amat kecewa."

Selepas menjalani beberapa sesi kaunseling dengan kaunselor di sekolahnya, tiba-tiba Susan telah lenyap dari sekolah. Satu perkara yang amat menyedihkan telah berlaku. Pelajar ini telah dimasukkan ke hospital pusat pakar psikiatri dalam keadaan kritikal. Beliau menangis, menjerit dan membaling barang-barang yang tercapai oleh tangannya ketika menerima rawatan.

Selepas diagnosis yang rapi daripada pakar psikologi, Susan disahkan menghidap penyakit depresi yang kronik iaitu kecelaruan depresi major.

Menurut kajian, seseorang disahkan menghidap depresi major sekiranya menghadapi tanda-tanda seperti berasa murung, letih dan kecewa, sekurang-kurangnya untuk dua minggu
berterusan.

Selain itu, aktiviti hariannya turut terjejas. Penyakit depresi merupakan penyakit yang lumrah di negara-negara maju dan membangun seperti Amerika Syanikat (AS). Hampir 9.9 juta rakyat AS yang umurnya dalam lingkungan 18 hingga 54 tahun menghidap penyakit depresi (NIMH, 2001).

Kebelakangan ini, Malaysia turut memperlihatkan suatu gejala yang mana kadar penyakit depresi akan naik khususnya di kalangan pelajar baik di sekolah rendah, menengah ataupun Pusat pengajian tinggi.

Keadaan sedemikian harus diambil perhatian yang serius supaya tidak menular menjadi satu penyakit yang mengancam. Terdapat sembilan tanda signifikan yang menunjukkan seseorang telah menghidap penyakit depresi.
 Seandainya seseorang individu itu memperlihatkan lima daripada tanda-tanda dibawah untuk dua minggu berterusan, maka dia dianggap menghidap penyakit depresi major:
1.     Berasa murung hampir setiap hari.
2.     Minat atau perasaan gembira terhadap aktiviti merosot.
3.     Berat badan menyusut secara signifikan dan tiada selera makan.
4.     Menghadapi masalah untuk tidur atau tidak dapat tidur langsung.
5.     Gangguan dalam gerakan badan atau psikomotor.
6.     Berasa letih dan tidak bermaya.
7.     Berasa tidak bernilai dan bersalah atas tingkah lakunya.
8.     Menghadapi masalah untuk berfikir, menumpukan perhatian atau membuat keputusan.
9.     Sentiasa membayangkan kematian dan ingin membunuh diri.
Tanda-tanda di atas harus dijadikan sebagai panduan kepada ibu bapa untuk mengesan sama ada anak mereka telah diserang penyakit depresi. Di Malaysia, ramai di kalangan ibu bapa terlalu menekan dan menaruh harapan tinggi tetapi tidak realistik atas anak mereka, khususnya di kalangan masyarakat Cina.

Sejak dari sekolah rendah, murid-murid sudah diasuh agar berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Menurut fahaman pelajar, bilangan A yang banyak adalah satu-satunya cara untuk menimbulkan perasaan megah ibu bapa.

Anak-anak kerdil ini berlumba-lumba untuk memperoleh seberapa banyak A yang boleh untuk menggembirakan ibu bapa mereka. Anak-anak ini sentiasa sibuk dengan tuisyen, latihan rumah yang bertimbun-timbun dan jarang mempunyai masa untuk berehat atau mempraktikkan hobi mereka.

Penulis pernah melihat ramai di antara anak-anak ini menangis, mengadu berasa amat khuatir dan tidak dapat fokus terhadap pelajaran terutamanya sewaktu peperiksaan.

Saya berasa amat kasihan kepada anak-anak di sekolah rendah ini. Mereka tidak berpeluang untuk bermain, berehat dengan cukup dan menenangkan fikiran. Zaman kanak-kanaknya berlalu begitu sahaja.

Cara pendidikan yang terlalu mengutamakan pencapaian akademik sebenarnya perlu dirombak. Sistem sedemikian tidak seimbang dan gagal melahirkan generasi muda yang kreatif dan dinamik.

Depresi mempengaruhi sistem imum seseorang terhadap penyakit dengan kebarangkalian pesakit sedemikian menghidap penyakit jantung adalah dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang normal.

Penyelidikan pakar psikologi menunjukkan seseorang yang pernah menghidap penyakit depresi major menghadapi kesukaran untuk kembali kepada kehidupan asal ataupun pulih sepenuhnya. Dari segi umur pula, ramai yang berpendapat bahawa golongan umur pertengahan iaitu orang dewasa dan golongan tua lebih kerap menghidap penyakit depresi.

Bagaimanapun, anggapan ini ternyata silap. Kajian menunjukkan bahawa penyakit depresi paling kerap menyerang golongan perempuan yang berada dalam lingkungan umur 15 ke 19 tahun dan golongan lelaki pula dalam lingkungan 25 hingga 29 tahun.

Individu yang menghadapi masalah depresi mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk membunuh diri. Ramai pesakit wanita mempunyai niat membunuh diri namun pesakit lelaki pula bukan sahaja mempunyai niat, tetapi sering kali menjayakannya.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyelamatkan anak-anak mereka daripada diserang penyakit depresi. Mereka harus bersifat autoritatif dalam mendidik anak-anak, iaitu membimbing mereka secara terbuka serta memberi peluang kepada anak untuk menyuarakan pendapat.

Kehidupan keluarga yang porak peranda dan sentiasa menekan anak belajar tanpa rehat harus dielakkan. Sebaliknya, kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kasih sayang dan mengambil berat kepentingan berkomunikasi, boleh mengurangkan kadar anak daripada serangan penyakit depresi.

Seandainya seseorang anak masih diserang penyakit depresi kerana faktor genetik dan daya tahannya yang lemah, maka mereka haruslah diberikan rawatan perubatan.

Melalui terapi seperti mengambil antidepresan dan khidmat kaunseling dari semasa ke semasa, pesakit akan dapat mengawal dirinya. Pada hakikatnya, anak-anak harus digalakkan belajar melalui permainan, bergaul, melahirkan pendapat dan hidup dalam suasana yang sihat dan gembira.

Ramai ibu bapa tidak sedar bahawa seseorang yang menghidap depresi adalah amat sukar untuk sembuh. Mereka terpaksa berhenti sekolah, berehat dan menerima rawatan hospital. Tekanan yang berterusan hanya akan menamhah tenat dan memburukkan lagi penyakit, sekali gus cenderung menyebabkan insiden membunuh diri.

Jadi, penulis ingin menyeru ibu bapa, guru dan semua pendidik dari pelbagai lapisan agar merenung secara mendalam. Haruskah kita mengubah sikap yang begitu menekankan pencapaian akademik sehingga mengorbankan anak-anak?

Ambillah langkah-langkah yang positif untuk menyelamatkan anak-anak supaya mereka tidak menjadi sasaran penyakit depresi. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.