Tuesday, 11 September 2012

Pendidikan baru lahir modal insan bertaraf dunia

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam wawancara khas mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang disiarkan beberapa akhbar semalam, memberikan sepatah jawapan untuk menyimpulkan matlamat utama semua pembaharuan yang bakal diperkenalkan itu – kualiti.

Tanpa menafikan sumbangan besar beberapa pembaharuan ke atas dasar pendidikan sebelum ini dalam memacu pembangunan negara sejak merdeka, perubahan pesat dalam pelbagai bidang di dalam dan luar negara bukan saja memerlukan pelan lebih menyeluruh dan tahan diuji, tetapi bersandarkan kajian, pandangan dan hasrat semua pihak berkepentingan, dari ibu bapa, murid sehinggalah kerajaan dan industri. Sejak merdeka, bidang pendidikan menyaksikan beberapa transformasi bagi menangani masalah dan memenuhi matlamat negara. Penyata Razak 1956 misalnya, digubal bagi merapatkan jurang antara kaum dan memupuk perpaduan nasional melalui penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan. 


Bina sahsiah seimbang
Teras perpaduan nasional dalam sistem pendidikan diperkukuhkan lagi oleh Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974 dan 1979. Pelaksanaan pelbagai perakuan dalam laporan itu memberi sumbangan besar kepada usaha memupuk dan memperkukuhkan perpaduan nasional.

Pada 1988 pula, Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan untuk memupuk nilai murni generasi baru melalui pembinaan sahsiah yang seimbang. Melalui falsafah itu, pendidikan dijadikan alat utama untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. 

Transformasi ketiga dalam sistem pendidikan kita tercetus apabila kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020. Untuk itu, penguasaan ilmu sains dan teknologi diberi keutamaan tanpa mengetepikan pendidikan yang holistik dan bersepadu.

Laporan awal PPP 2013-2025 yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak esok, adalah permulaan satu lagi fasa transformasi pendidikan untuk menganjak kedudukan kita daripada negara membangun berpendapatan sederhana kepada negara maju berpendapatan tinggi. Bagi mencapai hasrat itu, negara memerlukan modal insan yang kreatif dan inovatif serta berdaya saing pada peringkat antarabangsa. 
Seperti kata Muhyiddin, modal insan yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa hanya lahir melalui pendidikan bertaraf dunia. Justeru, beliau menyasarkan dalam 15 tahun akan datang, sistem pendidikan Malaysia bakal meraih kejayaan seperti Korea Selatan, Finland, Jepun, New Zealand dan Singapura.


Kumpul pandangan pelbagai pihak


Satu perkara yang menarik mengenai proses transformasi pendidikan kali ini ialah penyertaan rakyat pelbagai lapisan dalam memberikan pandangan dan cadangan melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara yang diadakan sebaik PPP dilancarkan pada April lalu. Pada masa sama, Kementerian Pelajaran juga mendapatkan pandangan rakyat melalui Twitter, Facebook dan laman web.

Kerajaan juga mengambil kira pandangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia, hasil kajian 12 panel bebas, empat panel antarabangsa yang dilantik, laporan daripada enam institusi pengajian tinggi awam dan sembilan makmal pendidikan.

Dalam kata lain, kerajaan menyediakan ruang seluas-luasnya kepada semua pihak untuk menyatakan pandangan dalam proses transformasi pendidikan kali ini. Seharusnya tidak berlaku lagi ‘rumah siap pahat berbunyi’ apabila ia dilaksanakan tahun depan. Namun, dalam budaya politik di negara ini sekarang di mana bidang pendidikan sering dipolitikkan, agak mustahil mereka menyokong usaha ini walau sebaik mana sekalipun matlamatnya untuk bangsa dan negara.

Sunday, 9 September 2012


Janji Allah

SURAH ini dikategorikan dalam surah Makkiyah kecuali ayat 48 yang mana dikategorikan sebagai ayat Madaniyyah. Surah ini keseluruhannya mempunyai 50 ayat. Ia diturunkan selepas surah al-Humazah. Hubungannya dengan surah sebelumnya ialah di dalam surah ini Allah SWT bersumpah akan menunaikan isi yang terkandung dalam surah sebelumnya, yang mengandungi berita ancaman terhadap golongan yang derhaka dan janji kepada orang Mukmin yang mengerjakan kebajikan.
Firman Allah SWT: Demi malaikat-malaikat yang diutus untuk membawa kebaikan. Dan (malaikat-malaikat) yang terbang dengan kencangnya. Dan (malaikat-malaikat) yang menyebarkan (rahmat Tuhannya) dengan seluas-luasnya. Dan (malaikat-malaikat) yang membezakan (antara yang hak dan yang bathil) dengan sejelas-jelasnya. (al-Mursalat: 1-4)
Al-Maraghi berkata: "Sumpah Allah SWT dengan para Malaikat:
* Yang diutuskan untuk menyampaikan kebaikan dan ihsan agar disampaikan kepada para Nabi dan Rasul-Nya.
* Para Malaikat yang meninggalkan kebatilan dengan cepat sebagaimana angin kencang menerbangkan tanah dan debu.
* Yang menyebarkan pengaruh-pengaruh mereka kepada umat-umat dan jiwa-jiwa yang hidup.
* Para Malaikat yang turun membawa perintah Allah SWT untuk memisahkan di antara yang hak dengan yang batil dan di antara petunjuk dengan kesesatan.
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, mursalaati 'urfa iaitu para Malaikat.
Abu Hurairah berkata: "Yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah Malaikat-Malaikat."
Ibnu Mas'ud berkata: "Mursalaat itu ialah angin-angin. Maksudnya angin-angin itu dilepaskan berturut-turut seperti jajaran bulu tengkuk kuda yang berjuntai.Faariqaat dan Mulqiaat pula bermaksud Malaikat-Malaikat."
Maksud ayat ini ialah Malaikat-Malaikat itu turun membawa perintah-perintah Allah kepada rasul iaitu perintah-perintah yang membezakan di antara yang hak dan yang batil dan mencampakkannya kepada para rasul dalam bentuk wahyu untuk menolak dalihan manusia dan memberi amaran kepada mereka.
Ibnu Jarir berkata: "Al-mursilaat iaitu Malaikat atau angin. Manakala al- 'Asifaatitu ialah angin-angin dan an-Nasyirat itu pula ialah angin-angin yang menyebar awan di merata penjuru langit."
Firman Allah SWT: Dan (malaikat-malaikat) yang menyampaikan wahyu untuk menolak alasan-alasan atau memberi peringatan. Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu itu pasti terjadi. (al-Mursalat: 5-7)
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT bersumpah dengan para malaikat yang menyampaikan kepada para rasul tentang wahyu yang mengandungi peringatan kepada makhluk dan ancaman tentang azab-Nya, apabila mereka melanggar perintah-Nya dan sumpahan Allah SWT dengan semua sumpah ini ialah merupakan janji Allah SWT iaitu berlakunya hari kiamat itu merupakan perkara yang benar dan bukanlah perkara yang mustahil."
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu Malaikat yang turun atas perintah Allah SWT untuk menemui rasul-rasul-Nya dan menyampaikan wahyu. Para rasul menerima wahyu, baik dalam rangka memberi alasan kepada umat manusia atau memberi peringatan kepada mereka tentang seksaan Allah SWT sekiranya mereka menyalahi perintah-Nya."
Dan apa yang dijanjikan Allah SWT kepada kamu semua yang berupa hari kiamat, peniupan sangka kala, pembangkitan jasad dan pengumpulan kembali manusia daripada yang pertama hingga yang terakhir, serta balasan kepada umat manusia yang sesuai dengan amal perbuatannya, semua itu pasti berlaku dan tidak mungkin tidak berlaku.
Firman Allah SWT: Maka apabila bintang-bintang telah dihapuskan.Dan apabila langit telah dibelah. (al-Mursalat: 8-9).
Al-Maraghi berkata: "Maksudnya, apabila cahaya bintang-bintang mula lenyap dan apabila langit pecah dan terbelah."
Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, apabila bintang-bintang telah hilang cahayanya dan apabila langit pecah dan terbelah serta ujung-ujungnya telah digulung."
Sayid Qutub berkata: "Pada hari berlakunya kiamat itu bintang dihapuskan dan hilanglah cahayanya dan langit dipecahkan."
Firman Allah SWT: Dan apabila gunung-gunung telah dihancurkan menjadi debu.(al-Mursalat: 10)
Al-Maraghi berkata: "Ketika gunung-ganang diterbangkan angin sehingga tidak lagi meninggalkan kesannya."
Ibnu Kathir berkata: "Yakni dibawa menghilang sehingga tidak ada sedikitpun sisa yang tinggal dan tidak pula ada bekasnya."
Firman Allah SWT: Dan apabila rasul-rasul telah ditetapkan waktu (mereka). (al-Mursalat: 11)
Al-Maraghi berkata: "Apabila telah ditentukan kepada para rasul waktu untuk pengadilan dan pemutusan urusan di antara mereka dengan umat mereka."
Al-Aufi meriwayatkan dari Ibnu Abbas: Iaitu dikumpulkan.
Mujahid berkata: "Yakni ditangguhkan waktunya."
Sayid Qutub berkata: "Surah ini mengemukakan satu lagi perkara yang amat besar yang telah ditangguhkan Allah kepada hari kiamat ini, iaitu masa para rasul dipanggil untuk mengemukakan hasil pencapaian dakwah Allah SWT yang diperjuangkan mereka di bumi di sepanjang generasi-generasi manusia."
Marilah sama-sama kita bertekad untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan mengamalkan segala perintah agar kita layak menghuni syurga-Nya.

Kecelakaan besar

SETELAH Allah SWT menyampaikan tanda peringatan dan ancaman kepada orang kafir bahawa hari keputusan itu pasti berlaku dan Dia bersumpah kepada mereka dengan para Malaikat-Nya yang terdekat dengan para rasul-Nya yang suci bahawa hari itu pasti akan berlaku. Pada hari itu terdapat kengerian-kengerian yang tidak dapat difahami hakikatnya kecuali oleh Allah sahaja Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.
Oleh itu Allah SWT menambahkan perkara itu dengan menakut-nakutkan mereka bahawa Dia telah membinasakan orang yang kafir sebelum mereka, kerana kekafiran mereka. Apabila kamu menempuh jalan mereka, maka kamu pun akan mendapat balasan seperti balasan yang didapati mereka dan kamu juga akan diseksa di dunia dan di akhirat.
Kemudian Allah SWT mengakhiri perkara itu dengan memperingatkan mereka tentang keingkaran mereka terhadap kebaikan-Nya kepada mereka, kerana Dia telah menciptakan mereka daripada setitis air yang hina di dalam rahim dalam tempoh waktu tertentu, lalu Dia membentuk mereka menjadi makhluk lain. Kemudian Dia menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati agar mereka mensyukuri segala nikmat-Nya yang dikurniakan kepada mereka.
Akan tetapi mereka telah mengkufurkannya, mengingkari keesaan-Nya dengan menyembah berhala dan patung. Kemudian Allah SWT mengingatkan mereka tentang segala nikmat-Nya yang terdapat di setiap tempat kerana Dia telah mencipta bumi untuk mereka dan dapat menampung mereka sama ada yang mati atau yang hidup.
Seterusnya Dia menjadikan bumi itu dengan gunung-ganang agar bumi tidak bergoncang bersama mereka. Dia juga menjadikan padanya sungai-sungai dan mata air-mata air agar mereka dapat minum daripadanya air tawar yang segar. Maka mereka menerima azab dan kehinaan kerana mengingkari nikmat-nikmat yang besar ini.
Firman Allah SWT: Bukankah kami Telah membinasakan orang-orang yang dahulu? (al-Mursalat: 16)
Al-Maraghi berkata: "Bukankah Kami telah membinasakan orang yang mendustakan para rasul sebelum kamu, dan Kami seksa pula mereka di dunia dengan pelbagai azab seperti ditenggelamkan sebagaimana yang berlaku kepada kaum Nabi Nuh a.s, dengan gempa bumi sebagaimana yang berlaku kepada kaum Nabi Lut a.s dan contoh-contoh serupa yang telah menimpa umat sebelum kamu sebagai balasan terhadap keburukan amalan perbuatan mereka."
Ibnu Kathir berkata: "Yakni dalam kalangan orang-orang yang mendustakan para rasul serta menentang apa yang dibawa oleh para rasul tersebut kepada mereka."
Sayid Qutub berkata: "Demikianlah umat-umat terdahulu yang ramai itu kelihatan gugur binasa dengan satu pukulan Ilahi."
Firman Allah SWT: Lalu kami iringkan (azab kami terhadap) mereka dengan (mengazab) orang-orang yang datang kemudian. (al-Mursalat: 17)
Al-Maraghi berkata: "Kami timpakan pula perkara yang sama terhadap orang lain yang sama dengan mereka. Seterusnya Kami kenakan terhadap mereka apa yang Kami kenakan terhadap orang yang sebelum mereka, kerana mereka itu melakukan perbuatan yang sama dengan perbuatan orang yang sebelum mereka."
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu daripada orang-orang yang seumpama dengan mereka."
Sayid Qutub berkata: "Dan dengan satu pukulan Ilahi yang lain, gugur dan binasa pula umat-umat yang datang selepas mereka."
Firman Allah SWT: Demikianlah kami berbuat terhadap orang-orang yang berdosa. (al-Mursalat: 18)
Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya sunah Kami terhadap orang yang berdosa adalah sama. Apabila Kami telah membinasakan orang terdahulu kerana dosa dan pendustaan mereka maka Kami pun membinasakan orang yang terkemudian (yang mengikut langkah dan menempuh jalan mereka), kerana sunah Kami berjalan dengan satu model."
Sayid Qutub berkata: "Itulah undang-undang Allah SWT yang tidak dapat dihindari. Dan ketika manusia yang berdosa itu menduga akan menerima balasan kebinasaan seperti yang diterima oleh umat-umat terdahulu dan umat-umat yang datang selepas mereka."
Firman Allah SWT: Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat: 19)
Al-Qurtubi berkata: "Azab dan kehinaan yang disebut dalam surah ini diulang banyak kali pada setiap ayat untuk orang yang mendustakan sesuatu, kerana Dia memberikan azab dan kehinaan itu di antara mereka menurut kadar pendustaan mereka. Seterusnya diberikan azab kepada setiap pendusta tidak termasuk azab yang dikenakan kerana pendustaan yang lain."
Sayid Qutub berkata: "Seruan yang mendoakan kebinasaan dan janji azab yang mengancam dengan kemusnahan."

Muhasabah diri dalam kubur

Walau berusia lebih 100 tahun, kubur suluk Tok Selehor masih utuh dan dipelihara dengan baik oleh waris Allahyarham.
MEREMANG bulu roma membayangkan gambaran keadaan dalam kubur atau 'rumah persinggahan' yang menempatkan jasad bagi orang yang telah meninggal dunia.
Pelbagai kisah mistik dan pengalaman aneh yang pernah diceritakan menambah lagi gambaran seram di fikiran segelintir daripada kita untuk mendekati kawasan tersebut seorang diri.
Namun, tidak kira tinggi mana pangkat atau banyaknya harta seseorang individu semasa di dunia, manusia tidak dapat lari daripada ditempatkan di dalam tanah yang gelap itu sendirian dengan hanya bertemankan cacing dan haiwan tanah lain.
Berbeza dengan bekas tokoh ulama terkemuka tanah air, Allahyarham Abdul Rahman Uthman, anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu menjadikan kubur sebagai tempat pilihannya untuk bersendiri.
Biarpun perlu bergelap dan kepanasan di dalam kubur sedalam tujuh kaki, Abdul Rahman yang terkenal dengan gelaran Tok Selehor lebih gemar meluangkan masa dan menyendiri di dalam kubur.
Menurut cicit Tok Selehor, Mohd. Shauki Abd Majid, Tok Selehor pernah menghabiskan masa sehingga 40 hari berturut-turut di dalam kubur buatannya itu tanpa menyalin pakaian atau bertemu sesiapa.
Baginya, dengan menghabiskan masa bertafakur di dalam kubur adalah landasan untuknya mendekatkan diri kepada Pencipta, sekali gus menghilangkan sifat-sifatmazmumah yang lahir dalam dirinya.
"Oleh kerana ketokohan Tok Selehor yang hebat pada masa itu, ramai dalam kalangan masyarakat yang terlalu menyanjungi Allahyarham.
"Sehinggakan setiap kali waktu kuliahnya diadakan, Kampung Selehor yang diberi nama sempena gelarannya itu pasti akan dibanjiri oleh ribuan orang.
"Bukan sahaja penduduk setempat, malah masyarakat negara jiran berhampiran termasuk Patani, Kemboja, Palembang, Jawa dan Siak juga hadir meraikan majlis sehingga ada yang terpaksa memanjat pokok untuk melihat Tok Selehor.
"Jadi, bagi mengelakkan daripada sifat riak dan takbur dengan sanjungan tersebut, Tok Selehor akan masuk untuk bersuluk di dalam kubur buatannya sendiri itu dalam tempoh tertentu," katanya yang merupakan antara waris Tok Selehor yang masih hidup.
Shauki berkata, kubur itu dibuat bertujuan menghilangkan riak dan memperkukuhkan sifat ikhlas Tok Selehor apabila terlalu disanjungi orang ramai dan mengelakkan daripada terlalu diagung-agungkannya.
Tok Selehor yang merupakan pengasas beberapa pondok pengajian di Kelantan adalah salah seorang daripada lima ulama terkenal di Kelantan pada masa itu termasuk Tok Kenali dan Tok Kemuning.
Masih utuh
Selepas dibina lebih 100 tahun lalu, kubur suluk Tok Selehor masih utuh dan dipelihara dengan baik oleh keturunan beliau.
Kubur tersebut yang pada asalnya hanya berdindingkan tanah dan dibiar terbuka, kini telah diubahsuai dengan dibina sebuah bilik kecil pada tapak kubur suluk Tok Selehor tersebut.
Ia bertujuan mengelakkan daripada tertimbus akibat runtuhan tanah atau pelbagai amalan khurafat yang dilakukan oleh segelintir individu yang kurang pengetahuan agama.
"Sebagai keturunan Tok Selehor, kami bertanggungjawab memastikan peninggalan ulama besar tanah air ini terpelihara atau tidak hilang ditelan zaman.
"Sekeliling tapak kubur suluk ini kini telah dibina sebuah bilik kecil berkunci. Manakala dalam kubur itu pula diletakkan lampu, tangga dan juga dinding mar-mar.
"Ia untuk mengekalkan tapak bersuluk peninggalan Tok Selehor daripada hilang tertimbus dan sebagainya.
"Kubur suluk ini juga dibuka kepada orang ramai yang ingin memuhasabah diri dengan merasai gambaran mati di dalam kubur.
"Bagaimanapun ia terpaksa dipantau dan dikunci bagi mengelakkan perbuatan khurafat dan syirik berlaku," ujarnya.
Shauki berkata, diceritakan idea membina tempat suluk bermula semasa Tok Selehor menuntut di Mekah. Seorang daripada gurunya pernah bertanya mengenai cita-citanya. Antara jawapan Tok Selehor adalah beliau ingin menjadi penghulu semua orang mati.
Justeru, selepas tamat pengajian dan pulang ke tanah air, Tok Selehor menggali sebuah kubur berhampiran rumahnya untuk dijadikan tempat beliau bersolat dan berkhalwat kepada Allah SWT.
Tambahnya, antara tujuan lain Tok Selehor menggali lubang itu supaya hati menjadi kecut dan sentiasa mengingati mati.
"Inilah antara langkah sebenarnya untuk benar-benar insaf dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengingati mati. Tambahan pula merasai hidup seorang diri di dalam tanah yang panas dan gelap gelita," jelasnya.
Kawan baik Tok Kenali
Tok Selehor merupakan salah seorang teman rapat kepada Allahyarham Muhammad Yusuf Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali.
Shauki berkata, mereka juga sering bersama bagi membincangkan masalah agama dan usaha untuk mengembangkan Islam di negara ini.
Sehinggakan katanya, Tok Selehor mendapat gelaran daripada Tok Kenali sebagai 'Penyair Kita'. Ia disebabkan minat Tok Selehor yang mendalam terhadap seni dan juga sastera.
"Tok Selehor cenderung membaca buku-buku sastera lama berbentuk syair sepertiHikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya. Beliau juga pandai mengalunkan syair tersebut dengan kurniaan suaranya yang merdu.
"Beliau bukan sekadar pandai mendendangkan syair, malah pandai mengarang syair yang digunakan sebagai salah satu medium dakwah untuk menarik perhatian masyarakat," katanya.
Beliau berkata, sebelum kewafatan wali Allah SWT itu, berlaku petanda aneh yang mengiringi dan menunjukkan pemergian Tok Selehor.
"Pada tahun 1935, seperti biasa Tok Selehor akan pergi memburu kerana itu adalah antara hobi beliau untuk mengisi waktu lapang. Diceritakan, selepas tiga hari pulang daripada berburu rusa, seekor ikan yu besar yang tidak pernah dilihat penduduk Kampung Selehor kelihatan timbul di tempat mandi Tok Guru Selehor.
"Dua hari kemudian, datang pula sekumpulan burung gagak dengan banyaknya di kawasan rumah Tok Selehor sehingga orang ramai hairan melihat peristiwa itu.
"Sehinggalah beberapa hari selepas itu Tok Selehor mengadu sakit kepala. Penyakitnya itu tidak surut walaupun telah diubati dengan pelbagai kaedah. Lapan hari kemudian, iaitu pada 20 Februari 1935, Tok Selehor menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 64 tahun," jelasnya.

Pelajar sasaran mangsa buli siber

BERDASARKAN kajian Tingkah Laku Siber Belia Global yang dikeluarkan Microsoft Corp. mendapati 33 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun di negara ini terdedah kepada pelbagai aktiviti siber termasuk jenayah buli dalam talian.
Malah, melalui kajian yang dijalankan bermula 11 Januari hingga 19 Februari lalu di 25 buah negara termasuk Malaysia itu mendapati satu pertiga remaja negara ini pernah menjadi mangsa buli siber.
Dianggarkan 24 peratus kanak-kanak dan remaja yang terlibat dalam tinjauan kajian terbabit mengakui pernah melakukan sesuatu yang dibimbangi oleh ibu bapa termasuk menjadi mangsa buli dalam talian.
Kajian tempatan mengemukakan hasil bahawa golongan ini berhasrat berkongsi cerita dan mahu berinteraksi dengan ibu bapa mereka mengenai isu buli dalam talian namun hanya 27 peratus daripada ibu bapa yang mahu berbincang dengan anak-anak mereka berhubung aspek keselamatan khususnya melindungi anak-anak ketika dalam talian.
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Abdul Kadir Abu Bakar berkata, golongan terbabit yang terdiri daripada pelajar memerlukan ruang untuk membincangkan isu-isu termasuk kes buli dalam talian kerana perlu merasa selamat.
''Bagaimanapun, jika ruang seperti ini tidak ada, mereka perlu membuat keputusan sendiri dan disebabkan kurang pengalaman dalam menangani isu dengan cara yang tidak sesuai, secara tidak langsung memberi masalah psikologi dan mental yang serius pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyertai Rundingan Meja Bulat Masalah Buli Dalam Talian anjuran Microsoft Corp. yang turut dihadiri Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page), Datin Noor Azimah Abdul Rahim;
Pengarah Hal Ehwal Korporat, Malaysia dan Pasaran Baru, Microsoft Malaysia, Jasmine Begum serta Pakar Psikiatri Hospital Selayang, Dr. Nurulwafa Hussain.
Sehubungan itu, menurut Dr. Abdul Kadir, ibu bapa seharusnya memainkan peranan lebih utama dan proaktif khususnya meningkatkan pemantauan terhadap tingkah laku anak-anak mereka berkaitan sebarang aktiviti siber.
"Penggunaan Internet tanpa kawalan orang dewasa khususnya ibu bapa meletakkan remaja pada risiko bahaya seperti dibuli dalam talian, pornografi dan berpotensi mendedahkan maklumat peribadi kepada pemangsa seksual.
"Pengawasan ibu bapa merupakan faktor utama melindungi anak-anak mereka terutama dalam mempengaruhi tingkah laku anak-anak berkaitan isu buli dalam talian ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Page, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, pihaknya bimbang mengenai kekurangan polisi formal yang berperanan melindungi keselamatan golongan kanak-kanak dan belia memandangkan mereka terlibat dengan jenayah siber pada usia yang muda.
Menurutnya, tinjauan tempatan menunjukkan hanya 18 peratus ibu bapa mengajar anak-anak mereka mengenai adab sewaktu dalam talian dan 13 peratus daripada ibu bapa meminta anak-anak memaklumkan kepada mereka sekiranya mereka menjadi mangsa buli dalam talian.
Pada perkembangan yang sama, Jasmine berkata, Microsoft turut mengambil beberapa pendekatan bagi menangani isu berkaitan buli dalam talian antaranya memperkenalkan kuiz interaktif pada laman web setiap sekolah agar pendidikan awal mengenai jenayah buli dalam talian dapat diperluaskan di kalangan pelajar.
"Buli siber atau buli dalam talian ini boleh dikatakan satu cabaran serta isu serius yang dihadapi seluruh dunia, dan Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi perkara tersebut.
"Bagi Microsoft, pendekatan kami adalah dari aspek keselamatan dalam talian dan memupuk warganegara melalui usaha menyokong literasi digital dan beretika.
"Pada masa yang sama, kita memberi kuasa kepada ibu bapa, penjaga dan pendidik dengan alat serta sumber yang tepat untuk membantu mereka bercakap dengan anak-anak tentang keselamatan dalam talian," jelasnya.

SK Sungai Kechil guna Twitter hubung guru, ibu bapa

SEORANG murid Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil melayari Twitter secara langsung bersama pemimpin negara pada program sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-55 di sekolah itu di Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.
NIBONG TEBAL 5 Sept. - Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil di sini mungkin menjadi sekolah luar bandar pertama di negara ini menggunakan Twitter sebagai medium pengantara dengan ibu bapa dan masyarakat.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Mohd. Foad Mat Isa berkata, melalui penggunaan laman sembang sosial itu, setiap program, aktiviti atau hebahan berkaitan sekolah kepada guru atau ibu bapa akan dibuat secara tweet.
Menurutnya, penggunaan Twitter oleh pihak sekolah berkenaan amat digalakkan kerana ia boleh menjimatkan kos, selain mempercepatkan proses pemberitahuan sesuatu maklumat atau hebahan.
"Selepas ini, semua maklumat yang hendak disampaikan termasuk mesyuarat guru akan dimaklumkan secara tweet.
"Penggunaan Twitter akan menjimatkan kos dan mempercepatkan proses penghantaran maklumat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan tweet secara langsung sekolah berkenaan dengan pengguna Twitter pada program sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-55 di sekolah itu, hari ini.
Hadir sama Guru Besar SK Sungai Kechil, Abdul Halim Aris.
Dalam tempoh dua jam dilancarkan, akaun Twitter sekolah tersebut telah dilayari oleh 160 pengikut termasuk Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman.
Mohd. Foad memberitahu, beliau mencadangkan kepada pihak SK Sungai Kechil supaya membuat halaman khas di dalam Twitter bagi membolehkan bekas murid-muridnya mengetahui mengenai kemajuan sekolah dari semasa ke semasa.
"Dengan cara ini, bekas murid yang telah berjaya boleh dijadikan ikon sekolah.
"Mereka yang terpilih ini mungkin boleh kembali ke sekolah untuk memberi kata-kata semangat atau dorongan kepada murid sedia ada," katanya.

Berintegriti didik anak bangsa

Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Shaari Osman (tiga kiri) bersama sebahagian daripada peserta Seminar Integriti Warga Pendidik menunjukkan simbol 1Malaysia di institut itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bakal guru digesa supaya tidak melihat isu integriti sebagai sesuatu yang remeh sebaliknya konsep itu perlu dipertingkatkan apabila memulakan tugas sebagai pendidik kelak.
Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Shaari Osman berkata, dalam usaha melonjakkan prestasi pendidikan, aspek integriti tidak dapat dipisahkan malah saling berkait rapat dalam menjana modal insan yang cemerlang.
Justeru, katanya, konsep itu juga bukan sekadar dilihat dalam aspek pencegahan penyelewengan dan rasuah semata-mata malah ia meliputi keberkesanan dalam mendidik dan kebolehupayaan melaksanakan tugas mereka.