Thursday 1 November 2012

Sejuta membaca serentak



Sufa'at Tumin (belakang enam dari kiri) bersama para selebriti dan pelajar pada majlis pelancaran Scholastic's READ 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
sesetengah orang membaca sekadar untuk mengisi masa terluang, tetapi bagi peminat buku ia bagi mendapatkan kepuasan kerana setiap helaian muka surat memberi ilmu yang baru.
Apa juga matlamat seseorang itu membaca, yang pasti amalan tersebut dapat menambah pengetahuan dan menajamkan minda.
Matlamat sama cuba dipupuk oleh pengedar buku kanak-kanak terbesar dunia, Scholastic Asia (Malaysia), apabila mereka memperkenalkan Kempen Scholastic's Read yang kini memasuki tahun ke lima.
Melalui kempen itu, syarikat tersebut berusaha mempromosikan tentang pentingnya amalan membaca tanpa mengira peringkat usia.
Naib Presiden Scholastic bagi Pendidikan dan Dagangan, Asia Pasifik dan Duta Persatuan Membaca Antarabangsa, Linda H. Warfel, berkata, membaca lebih daripada sekadar mendapatkan pengetahuan.
Sebaliknya beliau berkata, amalan tersebut dapat mengembangkan keupayaan seseorang untuk berkomunikasi dan meningkatkan kapasiti imaginasi mereka.
"Membaca juga meluaskan perbendaharaan kata, meningkatkan keupayaan untuk mengeja dan membantu kita memahami pelbagai pengalaman dalam kehidupan," katanya pada majlis pelancaran Scholastic's Read 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Acara membaca terbesar di Malaysia itu disempurnakan pelancarannya oleh Timbalan Pengarah, Kementerian Pendidikan, Sufa'at Tumin.
Warfel berkata, misi Scholastic selama lebih 90 tahun adalah membantu kanak-kanak supaya mereka boleh membaca untuk belajar serta menjadikannya amalan sepanjang hayat.
Katanya, demi kehidupan yang lebih baik masyarakat seharusnya menyokong hak kanak-kanak untuk membaca supaya boleh berjaya di sekolah dan dalam kehidupan.
"Kami menganjurkan kempen ini bertujuan menyemai dan mengukuhkan minat terhadap buku dan maklumat, serta menggalakkan pelajar sekolah untuk meluangkan 2,012 saat atau 33.5 minit untuk membaca bersama-sama," katanya.
Sementara itu Read 2012 berjaya rekod penyertaan terbesar iaitu seramai 1,032,352 pelajar dari 2,278 buah sekolah di seluruh Malaysia telah membaca serentak.
Membawa tema Setiap Halaman Membawa Pengetahuan, Read 2012 mengatasi penyertaan tahun lalu sebanyak 56 peratus, menandakan meningkatnya kesedaran dan penghargaan terhadap usaha untuk meningkatkan kadar celik huruf.
Sempena kempen tersebut juga Scholarstic telah mendermakan 50 buah buku bagi setiap sekolah berjumlah 113,900 buah buku kesemuanya.
Beberapa personaliti dan pelakon popular seperti Joanna Bessey, Colin Kirton, Sheahnee Iman Lee, Wardina Saffiyah, Jojo Struys, Sharifah Amani dan ibunya Fatimah Abu Bakar serta Azura Zainal, turut meluangkan masa dari jadual ketat mereka menyertai acara tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121101/pe_01/Sejuta-membaca-serentak#ixzz2B2EK5rjk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment