Tuesday 15 January 2013

Bersukan VS Bersenam


Bersukan VS Bersenam

Bersukan untuk jadi cergas atau jadi cergas untuk bersukan?
Play sport to get fit of get fit to play sport?
Mana satu yang betul? Bersukan untuk jadi cergas atau jadi cergas untuk bermain sukan. Saya selalu tanya soalan ini di dalam kelas yang saya ajar. Majoriti menjawab bersukan untuk jadi cergas. Kenapa? Di Malaysia rasanya kebanyakan dari kita dah terdidik, bila bercerita pasal senaman;
A: Kau bersenam tak sekarang?
B: Bersenam. Aku main badminton seminggu tiga kali.
A: Doctor, apa patut saya buat untuk turunkan tekanan darah saya?
B: Awak pergi bersenam. Petang-petang pergi lah joging atau main badminton, futsal dan lain-lain.
Pernah tak berdepan dengan seseorang atau mungkin diri sendiri, nak kata aktif, memang aktif, dengan petang-petang main bola, malam main badminton, hujung minggu joging, tetapi tiba-tiba kena sakit jantung, atau bila buat pemeriksaan, ada tekanan darah tinggi, paras kolestrol tinggi dan lain-lain yang sewaktu dengannya.
Pernah dengar tak kes di Malaysia sekitar tahun 80an, seorang lelaki mati ketika bermain badminton akibat sakit jantung, dan kemudian seorang lagi dengan pangkat dato mati juga ketika bermain badminton, dan kemudian keluar dalam surat khabar mengatakan badminton merbahaya dan boleh membunuh. Atau pun kes yang tak berapa lama, seorang pemain bola mati di tengah padang? Banyak lagi kes melibatkan kematian mengejut ketika bersukan.
Pada oktober 1996, National Athletic Trainers’ Association Research and Education Foundation telah membuat kajian yang melibatkan badan sukan dan perubatan bertajuk Sudden Death in the Athlete. Rata-rata kes disebabkan mereka yang terlibat tidak cukup cergas untuk sertai sukan tersebut selain terdapat juga kes disebabkan penggunaan dadah sukan atau steroid. Jika tidak melibatkan kematian pun, pernah dengar tak seseorang yang tiba-tiba aktif bersukan mengadu sakit pinggang, lutut dan sebagainya?
Apa perbezaannya bersenam dan bersukan? Senaman yang baik akan sasarkan kebaikan pada 5 komponen kesihatan iaitu
1. Kardiovaskular
2. Daya tahan otot (stamina)
3. Kekuatan otot (strength)
4. Komposisi badan
5. Kelenturan (flexibility)
Manakala bersukan akan sasarkan sedikit daripada komponen kesihatan dan sikit komponen lakuan (skill) mengikut jenis sukan seperti
1. Ketangkasan (agility)
2. Kelajuan (speed)
3. Kuasa
4. Imbangan
5. Masa reaksi
6. Koordinasi
Bayangkan seorang dengan sekatan di dalam salur darah yang meningkatkan tekanan darah, tiba-tiba bersukan yang mana akan meledakkan denyutan jantungnya, terpaksa bekejar bulu tangkis dari kiri ke kanan, ditambah lagi dengan perut besar, kuat ke lutut dan pinggang dia nak menampung berat perut dengan gerakan begitu? Bersukan mungkin boleh meningkatkan sebahagian daripada komponen kesihatan untuk golongan-golongan tertentu.
Bagaimana bersenam? Senaman yang baik melibatkan senaman jenis aerobik dan anaerobik dengan intensiti latihan yang betul sesuai dengan sasaran. Latihan aerobik seperti berjoging, tarian, dan lain-lain. Manakala latihan anaerobik seperti latihan bebanan, rintangan. Boleh rujuk di laman-laman sebelum ini. Janganlah kita sebarkan pada yang lain, suruh bersenam tetapi jika ditanya bagaimana? Main badminton. Tidak salah jika ingin bersukan tetapi dalam masa yang sama sekalikan dengan bersenam. Dapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dalam bidang ini. Doktor perubatan di Malaysia khususnya kebanyakannya tidak tahu pasal bersenam. Jadi mereka bukan orang yang sepatutnya untuk dapatkan nasihat tentang senaman. Berjumpalah dengan terapi senaman atau jurulatih-jurulatih bertauliah atau sesiapa yang berkelayakan.

No comments:

Post a Comment