Wednesday 29 May 2013

Gangguan pemakanan masalah mental

Gangguan pemakanan masalah mental

Seperti gadis lain, pada usia 16 tahun, Soo Yun mula merasakan perasaan cinta dan ingin dicintai. Dalam diam dia menaruh hati pada seorang pelajar lelaki dalam kelasnya.
Pada zahirnya Soo Yun seorang gadis yang comel. Cuma dia sedikit gempal, dengan berat badan 65 kilogram pada ketinggian 160 sentimeter.
Malangnya dia dipandang 'gemuk' oleh lelaki yang amat diminatinya. Sejak itu Soo Yun berubah. Dia telah menjadi seorang yang membenci makanan berlarutan sehingga lapan bulan. Akhirnya Soo Yun dikejarkan ke hospital oleh ibu bapanya kerana berat badannya ketika itu hanya 29 kilogram.
Si ibu pada mulanya hampir membawa anaknya ke Thailand untuk berubat dengan pengamal perubatan alternatif di sana kerana menyangka anaknya dirasuk syaitan.
Manakan tidak, Soo Yun yang dulunya putih gebu kini hanya tinggal kulit kehitaman membaluti tulangnya.
Kisah Soo Yun adalah kisah benar yang kisahnya diceritakan oleh perunding psikiatri dari Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh dan pakar pemakanan juga dari hospital yang sama, Lim Ai Leng.
Setelah rawatan lanjut di hospital dan juga kaunseling, Soo Yun semakin pulih. Dia kini sudah setahun keluar dari wad dan gigih menambah berat badan sambil dipantau ibunya.
Dr. Nor Hamidah berkata, jumlah pesakit anorexia nervosa (anorexia) dan bulimia nervosa (bulimia)di Malaysia tidak seteruk di negara seperti Amerika Syarikat, namun angkanya semakin meningkat tahun demi tahun.
"Walaupun Malaysia dikatakan antara negara yang kadar obesitinya tinggi, tetapi kes bulimia dan anorexia menjadi satu senario membimbangkan," jelas beliau ketika sesi penerangan tentang anorexia dan bulimia di hospital tersebut baru-baru ini.
Dr. Hamidah menerangkan anorexia dan bulimia sebenar boleh dianggap sebagai penyakit yang membabitkan gangguan tingkah laku pemakanan seseorang.
"Anorexia nervosa dinamakan pada tahun 1868 oleh doktor William Gull. Masalah ini terjadi apabila seseorang itu mula mengehadkan dirinya kepada pemakanan.
"Malah pesakit juga mempunyai cara khusus dalam memilih makanan. Mereka begitu teliti pada pemakanan yang mengandungi minyak, lemak dan tidak sesekali memilih makanan bergula yang selalunya terdapat dalam manisan," jelas Dr. Nor Hamidah.
Ini merupakan satu simptom penyakit psikiatri dan dinilai apabila seseorang itu mengalami penurunan berat badan yang ketara (sekurang-kurangnya 15 peratus daripada berat badan asal). Golongan ini juga begitu takutkan obesiti dan kenaikan berat badan.
"Bagi wanita yang mengalaminya, mereka ketiadaan sekurang-kurangnya tiga kitaran haid berturut-turut. Pola diet mereka makin hari makin minimum hingga jadi pembenci makanan dan sering menyalahgunakan ubat julap," ujar beliau.
Menurut Dr. Nor Hamidah, menerusi statistik yang diperoleh, seramai 0.37-4.06 daripada 100,000 penduduk negara ini mengalami gangguan pemakanan ini dalam setahun.
Daripada jumlah tersebut, satu hingga dua peratus adalah dalam kalangan remaja di sekolah dan pelajar universiti.
"Jangan terkejut kerana lima hingga 10 peratus daripada jumlah penghidap penyakit gangguan pemakanan ini adalah lelaki.
"Selain itu, golongan yang biasa terkena gangguan pemakanan ini adalah mereka yang datang daripada kelas atasan," ujarnya.
Dr. Nor Hamidah juga memberitahu penyakit anorexia juga tidak mustahil berulang dalam sejarah keluarga.
"Faktor genetik juga memainkan peranan apabila kajian Theander pada tahun 1970 mendapati enam hingga 10 peratus dalam saudara perempuan bagi pesakit anorexia.
"Selain itu, faktor pekerjaan juga memainkan peranan terutama apabila tugasan mereka seperti sebagai model atau penari balet, menuntut mereka untuk sentiasa langsing dan kurus," katanya.
Gejala psikiatri
Apa yang dimaksudkan oleh Dr. Hamidah dengan penyakit adalah merujuk kepada sejenis gangguan psikiatri apabila individu terbabit mula menyekat makanan pada dirinya.
"Pesakit anorexia adakalanya boleh menjadi simptom pesakit bulimia kerana mereka boleh memuntahkan semula makanan yang telah dimakan.
"Simptom psikiatri menjadi lebih bahaya apabila pesakit mula mengasingkan diri daripada bersosial, timbul tanda-tanda kemurungan, gejala cemas dan menjadi sangat obses.
"Pesakit bulimia juga akan menjurus kepada simptom gangguan psikiatri seperti kemurungan, cemas, impulsif, konflik seksual dan gangguan dalam keintiman. Gangguan ini memang boleh menjadi keterlaluan disertai dengan gangguan panik serta gangguan keresahan.
"Jangan ingat hanya gangguan psikiatri saja boleh berlaku. Pesakit anorexia dan bulimia turut berhadapan dengan pelbagai komplikasi fizikal seperti dehidrasi, ketidakseimbangan elektrolit, kompromi jantung dengan pelbagai aritmia, gangguan motiliti gastro usus, masalah buah pinggang, kemandulan, kelahiran pra-matang, komplikasi peri-natal lain, hipotermia dan sebagainya.
"Paling menyedihkan pesakit juga boleh berhadapan dengan serangan jantung lalu terus mengakibatkan kematian," ujarnya.
Beliau turut memberitahu, pada satu kajian yang dilakukan oleh Theander (1985), mendapati bahawa gangguan pemakanan yang berterusan selama beberapa tahun telah mengakibatkan 18 peratus pesakit gangguan pemakanan ini mati akibat bunuh diri.
Pemeriksaan fizikal
Dr. Nor Hamidah turut menerangkan tatacara merawat pesakit gangguan pemakanan di kliniknya.
Ia dimulakan dengan mewawancara dengan ahli keluarga sebelum beberapa tindakan lain yang dilakukan peringkat demi peringkat.
"Paling penting ialah sokongan daripada ahli keluarga. Dalam proses rawatan, pakar akan pastikan penambahan berat badan yang mencukupi.
"Dalam proses tersebut juga pesakit dan pakar akan berbincang tentang pelan pemakanan di samping rawatan psikologi untuk mendidik pesakit dan ahli keluarga.
"Pakar juga akan memastikan kenaikan berat badan sebanyak 65 peratus daripada berat standard.
"Sekiranya pesakit mengalami kemurungan yang teruk, dia akan ditahan di hospital sehingga berat sasaran dicapai," jelasnya.
Sementara itu, Ai Leng yang merupakan pakar pemakanan di hospital yang sama berkata, dalam proses pemulihan pesakit gangguan pemakanan aneroxia dan bulimia, keseimbangan diet harian awal dengan sekurang-kurangnya 1,200 kalori setiap hari diperlukan.
"Pemakanan pesakit akan diselia oleh seorang jururawat dan pakar pemakanan. Matlamatnya adalah untuk mendapatkan 0.5 hingga satu kilogram penambahan berat dalam seminggu. Tempoh rawatan pula berlangsung antara 8 hingga 12 minggu," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, pakar pemakanan harus membina keyakinan dan hubungan rapat dengan pesakit agar mereka boleh menerima saranan serta nasihat.
"Kami akan menerangkan pada mereka cara makan secara sihat. Nasihat bukan saja pada pesakit malah ahli keluarga mereka.
"Pemantauan ahli keluarga amat penting bagi memulihkan pesakit sepenuhnya," kata Ai Leng. - NOOR FAZRINA KAMAL


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130528/kn_01/Gangguan-pemakanan-masalah-mental#ixzz2UfJxNRg1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment