Saturday 22 September 2012

Tubuh universiti sukan


Tubuh universiti sukan


RAZALI (tiga dari kiri) bersama Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said (dua dari kiri) melakukan simbolik perasmian Seminar Pembangunan Bola Sepak IPT Malaysia 2012 di UiTM, Shah Alam semalam.


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyifatkan bahawa sebuah universiti khusus untuk sukan perlu ditubuhkan di negara ini demi memberi manfaat kepada atlet muda pada masa depan.
Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ibrahim berkata, universiti tersebut dapat melengkapkan pembangunan sukan di Malaysia kerana proses pembangunan dalam bidang itu didapati terhenti pada peringkat sekolah sukan sahaja.
Menurutnya, cadangan untuk menubuhkan universiti itu telah dibawa kepada kementerian dan telah dibincangkan termasuk mengadakan program berkembar dengan universiti sukan terkenal di luar negara sebagai permulaan.
“Melalui program ini, kita tidak perlu mewujudkan prasarana sebuah universiti sukan sebaliknya menjalinkan hubungan dengan universiti luar seperti Universiti Sukan Kebangsan Korea di Korea Selatan untuk pengambilan atlet,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pembangunan Bola Sepak institusi pengajian tinggi Malaysia 2012 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam semalam.
Bagi pembangunan sukan bola sepak, Razali memberitahu, Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak kini sedang melatih seramai 2,600 pemain berumur sembilan tahun di 14 buah pusat latihan di seluruh negara.
Menurutnya, pembangunan sukan itu juga akan terus dipertingkatkan dengan pembukaan Akademi Bola Sepak Kebangsaan di Gambang, Kuantan, Pahang yang dijangka siap selewat-lewatnya akhir tahun ini.
“Kementerian sebenarnya berusaha keras bagi memajukan sukan ini dan kami membiayai kira-kira RM2 juta untuk kejohanan mencari bakat di peringkat sekolah.
“Kita dapat hantar Skuad Harimau Muda kita ke Yugoslavia baru-baru ini menggunakan dana tabung khas bagi memantapkan persembahan mereka,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment