Friday 6 July 2012

Amalan Beronani Memudaratkan?


Amalan Beronani Memudaratkan?

by Najibah Hassan

BANYAK istilah dilabelkan kepada perbuatan atau aktiviti ini. Ada yang memanggilnya melancap, beronani atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai masturbation.
Kamus Dewan, Edisi Ketiga mendefinisikan maksud melancap sebagai berzina dengan tangan. Manakala, beronani pula sinonim dengan mengeluarkan air mani.
Apa pun panggilan, maksud atau pengertiannya, tujuannya sama. Secara umum, ia bermaksud melakukan rangsangan terhadap organ seks si empunya diri untuk mendapatkan keseronokan bagi kepuasan diri sendiri.
Terdapat pelbagai pandangan dari sudut kesihatan dan agama berhubung amalan yang telah wujud sejak berkurun lamanya.
Ada yang berpendapat, aktiviti ini harus dilakukan ketika dalam darurat, terutama bagi mengelakkan diri daripada melakukan hubungan seks `haram'.
Tidak kurang beranggapan amalan seperti ini diamalkan oleh mereka yang belum berkahwin, akan terhenti sebaik mereka berumah tangga. Namun, ini tidak sering berlaku.
Ketagihan kepada amalan seumpama ini, menyebabkan ada yang terikat hingga mereka berasa sukar meninggalkannya.
``Ada kalanya, mereka lebih cenderung bersendirian, untuk melakukan amalan tersebut daripada berinteraksi dengan pasangannya.
``Jika amalan ini mengundang kesan negatif sehingga menggugat kerukunan rumah tangga, individu terbabit memerlukan bimbingan pakar,'' demikian menurut Ketua Klinik Pakar, Pusat Kepakaran Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Malaysia, Dr. Mohd. Ismail Mohd. Tambi.
Menurut beliau, perilaku ini berterusan kemungkinan individu terbabit memperoleh kenikmatan dan keseronokan yang tidak diperoleh melalui hubungan seks.
Bagaimanapun, seandainya amalan ini boleh menggugat hubungan dengan pasangannya, mahupun diri pengamal itu sendiri, sebaiknya amalan ini dihentikan.
``Ini kerana, ada sesetengah individu yang sanggup melakukan perlakuan ganas hingga mencederakan anggota kelaminnya semata-mata untuk merangsang nafsunya,'' jelas beliau.
Istilah masturbation berasal dari perkataan Latin, masturbare. Ia adalah gabungan dua perkataan Latin, manus - tangan dan stuprare - menodai, menodai dengan tangan.
Orentasi seksual manusia terbahagi kepada beberapa fasa dengan mengenali anggota kelamin mereka melalui sentuhan.
Fasa uretral, berlaku dari peringkat umur antara satu hingga dua tahun. Amalan beronani bermula dari peringkat kanak-kanak.
Bagi kanak-kanak lelaki, amalan memegang zakar sering dilakukan apabila mereka sukar tidur atau membolehkan kanak-kanak tersebut diam.
``Keseronokan memegang kemaluan mereka menyebabkan kanak-kanak ini tertidur,'' ujarnya.
Rasa tenteram, selesa, nikmat dan seronok menyentuh anggota kelamin mereka ketika kanak-kanak merupakan titik permulaan. Dengan erti kata lain, perilaku ini sebenarnya berlaku tanpa disedari.
Menurut beliau, keseronokan yang dinikmati daripada sentuhan secara spontan ini, menyebabkan individu terbabit cenderung untuk menerokanya.
Lama-kelamaan individu tersebut terus terikat dengan amalan tersebut. Selain menggunakan tangan, jika si pelakunya lelaki, biasanya dia menggunakan tangan atau sebarang alat tiruan penggetar seperti faraj untuk mencapai klimaks.
``Kepuasan seks ini akan tercapai melalui ejakulasi. Pada masa yang sama, individu terbabit akan berkhayal atau merangsang mindanya dengan melihat video lucah, gambar wanita tanpa pakaian atau apa saja,'' jelasnya.
Menurut Ismail, tidak diketahui dengan jelas sejak bila amalan beronani ini bermula. Bagaimanapun, penggunaan istilah `onani', diambil sempena nama salah seorang nabi terawal, Nabi Onan.
Baginda dikatakan dilaknati oleh Allah kerana telah melakukan perbuatan terkutuk mengeluarkan air mani di luar faraj isterinya.
Perbuatan tersebut dilakukan kerana baginda enggan isterinya hamil. Sehubungan itu, Ismail menjelaskan, penggunaan istilah `onani' tidak begitu tepat jika dibandingkan dengan melancap.
Mungkin tidak ramai yang mengetahui amalan beronani bukan didominasi oleh lelaki. Malah, wanita juga tidak terkecuali. Namun, peratusannya lebih tinggi di kalangan lelaki.
Mengulas berhubung kajian yang menyatakan amalan ini mempunyai kelebihan tertentu, Ismail tidak menafikan pendapat tersebut berdasarkan dari pandangan sains.
``Selain dapat mengenali fungsi syahwat dan proses reproduksi lelaki, amalan ini dipercayai dapat melegakan tekanan seksual.
``Ia dikatakan dapat menghindarkan individu terbabit daripada melakukan jenayah seks, mendedahkan diri daripada penyakit kelamin seperti jangkitan HIV atau AIDS dan seks rambang,'' jelas beliau.
Di Scandinavia, misalnya, topik ini menjadi satu isu yang dibincangkan secara terbuka dengan remaja lelaki dan perempuan.
Malah, bukan sesuatu yang mengejutkan kerana di negara terbabit, ada pakar-pakar yang membimbing remaja lelaki teknik beronani yang baru. Ini semua dilakukan untuk melegakan tekanan atau perasaan seksual.
Melalui pendekatan seumpama ini, jumlah remaja dan orang dewasa yang terlibat dalam jenayah seks di negara tersebut dikatakan paling minimum atau hampir tiada.
Baru-baru ini, penyelidikan yang dilakukan oleh Majlis Kanser Australia Victoria mendedahkan, lelaki yang berusia antara 20 hingga 50 tahun berisiko rendah menghidap kanser prostat jika mereka kerap mengalami ejakulasi.
Kajian tersebut menyatakan, lelaki sihat yang beronani atau melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya sekali sehari, kurang satu per tiga untuk mendapat kanser yang membunuh lebih sejuta lelaki setiap tahun.
Secara umum, kata Ismail, amalan beronani tidak memudaratkan sekiranya ia sekadar melepaskan nafsu.
``Masalah yang timbul ialah apabila ada sesetengah yang melakukan amalan ini terlalu kerap dan ganas.
``Ada sebahagian individu yang sanggup memintal, menarik atau menggesel zakar sehingga mencederakan anggota reproduktif tersebut,'' katanya.
Dari sudut agama, amalan ini dilarang keras, kerana ia merupakan satu penyeksaan kepada diri sendiri dan batin.
Selain itu, ia mendedah dan melambangkan keperibadian yang lemah dan tidak mempunyai jati diri yang kukuh kerana tunduk kepada hawa nafsu.
Memandangkan amalan ini dilihat seperti membazir air mani, yang dianggap sebagai sumber asas untuk mendapat zuriat, maka pelbagai pendekatan digunakan untuk menghalang lelaki melakukannya.
Justeru, seperti termaktub dalam sejarah, amalan yang dianggap seperti memerah darah dari tubuh ini dikatakan boleh merosakkan mental, otak mereng, keletihan dan ketumbuhan bulu roma yang banyak di tangan.
Bahaya beronani:
Berdasarkan kajian, mereka yang melakukan amalan beronani seperti ini berkemungkinan menghadapi masalah mati pucuk atau disfungsi erektil (DE).

Kesannya, lama-kelamaan individu yang melakukan amalan ini akan hilang keseronokan melakukan hubungan seks dengan pasangannya.
Amalan ini juga boleh menyebabkan rasa gelisah dan resah kepada si pelakunya jika individu terbabit tidak dapat melakukannya.
Sekalipun, ketagihan kepada amalan ini tidak dikategorikan sebagai penyakit mental, tetapi ia boleh mengganggu kesihatan mental seperti kemurungan.
Wanita yang mengamalnya juga boleh mengalami komplikasi kebas pada anggota kelamin jika dilakukan secara ganas.
Tip mengelakkan beronani:
- Elakkan bersendirian
- Elakkan membaca novel romantis atau mengghairahkan
- Elakkan menonton video, wayang gambar atau cerita-cerita mengghairahkan
- Libatkan diri dalam aktiviti berkumpulan seperti senaman atau bersukan.
Panduan ibu bapa:
- Bilakah kanak-kanak mula berminat mengetahui tentang seks?
Agak sukar bagi ibu bapa mengetahui tentang permulaan ini. Rata-rata ibu bapa lebih suka menutup mulut daripada bercakap isu tentang seks. Subjek ini tidak boleh dielakkan.
Namun, naluri ingin tahu tentang diri mereka sendiri adalah sesuatu yang sihat dan normal.
Menjawab pertanyaan tentang seks adalah salah satu tanggungjawab yang cukup berat bagi ibu bapa.
- Apakah jenis tingkah laku seksual yang ditunjukkan oleh kanak-kanak?
Kanak-kanak biasanya akan menyentuh diri mereka ketika tidak berpakaian seperti di bilik air atau memakai lampin.
Ibu bapa seharusnya memberi reaksi sama ada tindakan mereka wajar atau sebaliknya.
Jangan malukan atau memarahi mereka jika kanak-kanak berminat mendalami tentang tubuh mereka.
Ibu bapa juga perlu menjelaskan kepada anak-anak bahawa bahagian anggota kelamin mereka sebagai sesuatu yang peribadi.
Begitu juga dengan beronani, ibu bapa seharusnya mengambil berat jika kanak-kanak kelihatan leka dengan aktiviti ini.
Ada kalanya, mangsa penderaan seksual selalunya leka dengan aktiviti merangsang diri sendiri.
- Wajarkah melabelkan bahagian sulit dengan gelaran-gelaran tertentu?
Apabila kanak-kanak berusia tiga tahun, ibu bapa boleh memilih untuk menyebutnya dengan istilah anatomi yang betul.
Mungkin, ia kelihatan agak klinikal, tetapi tidak salah menggunakan label yang betul apabila kanak-kanak telah boleh bertutur.
Sebagai contoh, perkataan zakar, faraj dan sebagainya seharusnya dinyatakan secara fakta.
Dengan cara tersebut, kanak-kanak akan mempelajari sesuatu dengan cara yang betul tanpa rasa malu. Sekalipun, anak anda tidak bertanya tentang seks, jangan sesekali mengabaikannya.
Jika usianya telah mencecah usia lima tahun, anda boleh mula dengan memperkenalkan buku tentang perkembangan seksual berdasarkan kesesuaiannya.
Ramai ibu bapa menghadapi masalah untuk menggunakan perkataan yang betul, tetapi banyak buku yang dapat membantu.

Sumber Dari Utusan Online

No comments:

Post a Comment