Friday 6 July 2012

Strok (Penyakit Angin Ahmar)


Strok (Penyakit Angin Ahmar)

by www.moh.gov.my

Strok atau angin ahmar merupakan masalah kesihatan yang diakibatkan oleh salur darah otak yang tersumbat atau pecah seterusnya menyebabkan pendarahan. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan kematian sel-sel otak dan  menyebabkan fungsi otak terjejas, seperti fungsi otak berkaitan dengan percakapan, penglihatan dan / atau pergerakan seseorang.
EPIDEMIOLOGI
Sepuluh peratus (10 %) dari kematian di negara-negara maju adalah disebabkan oleh strok. Insiden strok pada 1997 di negara Malaysia adalah  68.38 per 100 00 populasi dan ianya tertinggi di kalangan penduduk berbangsa Cina dan diikuti dengan  bangsa Melayu dan India.
Kejadian strok sering dikaitkan dengan  mereka yang berpendapatan rendah (Kelas V) dan risiko untuk mendapat strok meningkat dengan peningkatan umur. Lelaki dan perempuan mempunyai risiko yang sama untuk mendapat strok.
FAKTOR RISIKO
    1. Individu yang menghidap hipertensi (penyakit darah tinggi)
    2. Individu yang mengalami masalah jantung
    3. Paras kolesterol darah yang tinggi
    4. Merokok
    5. Kurang aktiviti fizikal/Kurang bersenam
    6. Berat badan yang berlebihan/Kegemukan yang melampau. 

TANDA DAN GEJALA
Majoriti dari pesakit tidak mempunyai sebarang gejala-gejala strok. Selalunya tanda-tanda strok dapat dikesan semasa pemeriksaan rutin.
Bagaimanapun tanda-tanda dan gejala-gejala yang boleh dialami adalah:
    1. Pening kepala (kepala/keadaan sekitar seperti berpusing )
    2. Pitam atau pengsan
    3. Anggota badan iaitu tangan dan kaki merasa kebas atau lemah atau
        kedua-duanya sekali

RAWATAN
Rawatan untuk strok adalah bergantung kepada penyebab strok itu sendiri. Masalah saraf dan kelumpuhan akibat pendarahan atau kerosakan sel di otak  biasanya sukar dipulihkan  kecuali pada kes yang tidak begitu teruk. Di peringkat awal selepas berlaku strok, rawatan sokongan serta ubat tertentu diperlukan untuk mengelakkan kerosakan otak yang lebih meluas/teruk.
Rawatan sokongan  yang diberikan bergantung kepada tahap keterukan strok, di mana ianya boleh terdiri dari bantuan pernafasan, pemantauan status kardiovaskular, pemberian cecair yang diperlukan tubuh (bendalir intravena) serta jagaan kejururawatan.
Di peringkat seterusnya , rawatan adalah lebih tertumpu kepada terapi rehabilitasi iaitu bagi mengelakkan komplikasi akibat masalah kelumpuhan atau lemah anggota, cara penggunaan tandas, penyesuaian tabiat pemakanan serta sokongan emosi. Rawatan di peringkat ini memerlukan sokongan dari setiap anggota keluarga  bagi memastikan  individu berkenaan dapat menikmati kualiti hidup yang sebaik mungkin. Penggunaan  vitamin peransang saraf otak mungkin digunakan walaupun kesan pemulihan dengan penggunaannya adalah tidak begitu menggalakkan

PENCEGAHAN

Penyakit kardiovaskular merupakan pembunuh nombor satu di Amerika Syarikat. Lebih dari 2,600 rakyat Amerika mati setiap hari dari penyakit kardiovaskular manakala  lebih dari 60 juta mengalami masalah tersebut. Ramai lagi telah mengalami serangan jantung atau angin ahmar manakala ada yang menghadapi risiko tinggi dan sedang mendapatkan rawatan serta melakukan perubahan yang perlu untuk mengurangkan risiko yang sedang mereka hadapi.
Sebenarnya, banyak perkara yang anda boleh lakukan untuk menjadikan jantung anda lebih sihat walaupun anda telah melalui pengalaman yang teruk. Perubahan yang sihat akan menolong anda untuk merasa dan kelihatan lebih sihat. Kadar kematian dari serangan jantung, angin ahmar dan lain-lain penyakit jantung akan menurun jika cara hidup yang sihat diamalkan. Ini bermakna cara hidup sihat memainkan peranan yang amat besar. Sekaranglah waktunya untuk mengubah fikiran anda untuk mengawal masa depan anda. Setiap perubahan yang dibuat akan memudahkan anda membuat perubahan yang seterusnya. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil:
·         Amalkan pemakanan yang sihat
·         Amalkan senaman yang teratur.
·         Kekalkan berat badan unggul.
·         Jangan merokok
·         Kurangkan stres.
·         Penjagaan kesihatan yang sempurna

Sumber Dari www.moh.gov.my

No comments:

Post a Comment