Friday 6 July 2012

Glukosa Atau Makanan Tambahan Untuk Otak


Glukosa Atau Makanan Tambahan Untuk Otak

by www.utusan.com.my

MENURUT Dr. France Bellisle, pakar global dalam tingkah laku makan dan tingkah laku kognitif, `Ada kebenarannya jika dikatakan bahawa jumlah glukosa mungkin mempengaruhi keupayaan otak kita untuk berfungsi.'
Pada asasnya otak memerlukan tenaga untuk bekerja. Hampir seluruh tenaga ini dibekalkan secara eksklusif oleh glukosa.
Seperti pentingnya petrol pada kereta, glukosa digunakan oleh kebanyakan sel dalam badan dan penting untuk fungsi badan.
Bahagian tertentu badan hanya boleh menggunakan glukosa sebagai sumber tenaga, otak dan otot-otot, misalnya, memerlukan glukosa. Itulah sebabnya pesakit yang tidak boleh makan dan minum yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) biasanya diberikan titisan glukosa.
Sejumlah kecil glukosa disimpan dalam otak dan sekiranya glukosa tidak didapati dalam aliran darah, ia akan habis digunakan dalam masa kira-kira 10 minit.
Glukosa memainkan peranan penting bagi mereka yang berpuasa. Kita selalu dinasihatkan supaya makan sesuatu yang manis apabila berbuka puasa.
Minuman manis yang mengandungi glukosa seperti air sirap, kuih-muih atau kurma dapat memberikan tenaga segera kepada otak dan otot-otot.
Ia tergolong dalam kategori gula yang membekalkan badan kita dengan 4 (3.75) kcal tenaga bagi setiap gram karbohidrat yang kita ambil.
Badan merupakan sebuah jentera yang amat canggih. Ia boleh menggunakan cara yang berlainan untuk membekalkan tenaga, bergantung kepada jenis makanan yang diambil. Kebanyakan makanan kita membekalkan tenaga dan nilai tenaga sebenar yang dibekalkan oleh semua makanan dikira daripada jumlah kandungan protein, lemak, karbohidrat dan alkohol dalam makanan.
Karbohidrat 3.75 kcal/g } 17kJ/g
Protein - 4 kcal/g } 16kJ/g
Lemak - 9 kcal/g } 37kJ/g
Alkohol - 7 kcal/g } 16kJ/g
Petua berguna yang harus diingat mengenai tenaga ialah satu sudu teh gula seperti glukosa mengandungi kira-kira 20 kcal dan satu sudu teh minyak mengandungi hampir 45 kcal.
Bagaimana badan kita mendapat tenaga daripada karbohidrat?
Penghadaman makanan ialah satu proses yang rumit, tetapi badan manusia adalah ibarat sebuah jentera luar biasa yang boleh menukar roti dan nasi menjadi glukosa, molekul tenaga yang diperlukan oleh badan kita.
Karbohidrat boleh diambil dalam tiga bentuk asas, iaitu sayur-sayuran mentah atau diproses, buah-buahan atau bijian seperti beras dan kumpulan gandum. Karbohidrat dalam bentuk ini juga dirujuk sebagai kumpulan karbohidrat tidak bertapis. Selain itu, terdapat karbohidrat dalam bentuk ditulenkan yang ditambah ke dalam makanan dan karbohidrat yang dilarutkan dalam pelbagai minuman.
Semuanya bermula dalam mulut apabila kita mengunyah makanan, untuk dihancurkan menjadi cebisan lebih kecil.
Kunyahlah makanan anda sekurang-kurangnya 10 hingga 20 kali untuk membantu proses penghadaman. Makanan yang mengandungi protein sahaja akan diuraikan. Keadaan perut yang terlalu berasid tidak membolehkan enzim kanji bertindak ke atas makanan berkanji (berkarbohidrat). Makanan seterusnya dibawa ke usus kecil di mana amilase pankreas (sejenis enzim) memecahkan molekul kanji sekali lagi untuk menghasilkan molekul glukosa yang boleh diserap ke dalam darah. Glukosa ialah molekul paling kecil yang boleh diserap ke dalam darah. Sebaik sahaja diserap ke dalam darah, molekul glukosa digunakan oleh semua sel untuk menghasilkan tenaga. Itulah sebabnya glukosa diberikan terus untuk membekalkan tenaga sekiranya kita jatuh sakit. Badan kita merupakan satu sistem kompleks yang bergantung kepada rangkaian tindak balas rumit untuk memastikan semua selnya mempunyai glukosa yang mencukupi untuk menjalankan semua fungsi badan.
Sumber Dari : Utusan Online

No comments:

Post a Comment