Friday 6 July 2012

Makanan Seimbang Kembalikan Tenaga


Makanan Seimbang Kembalikan Tenaga

by www.utusan.com.my

PENGAMBILAN makanan ketika berbuka khususnya bagi kanak-kanak yang baru belajar berpuasa tidak berbeza dengan hari-hari biasa. Apa yang perlu diberikan perhatian untuk sepanjang Ramadan, pengambilan makanan perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati.
Pakar Pemakanan Kanan, Pusat Perubatan Pantai, Norhaslina Osman memberitahu, ia perlu bagi mengelak berlakunya masalah pencernaan dan kekurangan air dalam badan.
"Pengambilan makanan seimbang dengan zat kandungan mineral semula jadi amat diperlukan badan terutama bagi mengelak berlakunya sembelit,'' katanya.
Justeru, makanan seimbang setiap kali berbuka puasa dan bersahur dapat membantu menstabilkan sistem badan seseorang yang berpuasa.
Jelas Norhaslina, makanan seimbang dan lengkap merangkumi semua zat dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh. Ia berdasarkan kepada piramid makanan dan amat perlu diamalkan agar badan tidak menghadapi kehilangan tenaga berlebihan selepas seharian menjalani ibadah puasa.
"Piramid makanan terdiri makan mengutamakan lebih bijirin, nasi, roti dan mi,'' katanya. Begitu juga dengan pengambilan air suam setiap hari dan makanan yang mengandungi air yang tinggi umpamanya buah-buahan dan sayur-sayuran.
Norhaslina berkata, dua kategori makanan itu perlu diberikan perhatian khusus oleh ibu terhadap anak-anak terutama apabila menyediakan menu berbuka puasa.
Pengambilan dua kategori makanan itu perlu diberi perhatian khusus kerana kandungan mineral dan zat serta serabutnya kaya dengan Vitamin A dan C yang diperlukan badan untuk melancarkan proses pencernaan.
"Cara yang paling digalakkan ialah melebihkan hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan, juga pastikan anak makan secara sederhana makanan yang bersumberkan susu, telur, daging dan ikan,'' ujarnya.
Sementara itu, ibu-ibu dinasihatkan supaya menghindari masakan yang terlalu berasaskan minyak dan lemak berlebihan.
Bagaimanapun, ibu bapa masih boleh mempelbagaikan makanan tetapi perlu bijak memilih kaedah yang sihat supaya tidak memudaratkan kesihatan.
"Adalah menjadi tanggungjawab ibu memastikan anak-anak tidak terlalu menurut nafsu terutama apabila melihat pelbagai jenis makanan yang dijual di luar,'' ujarnya.
"Pastikan mereka mengambil jumlah makanan yang sedikit tetapi kerap. Malah pastikan mereka juga tidak ketinggalan untuk bangun bersahur,'' ujarnya.
Bersahur kata Norhaslina, amat mustahak bagi memastikan apa yang dimakan boleh memberi tenaga kepada anak-anak ini sepanjang hari.
Sesuai dengan pertumbuhan pesat kanak-kanak, mereka juga digalakkan mengambil lebih banyak air untuk menjalani ibadah puasa. Berbanding orang dewasa, katanya, kanak-kanak lebih mudah kehilangan air.
Sumber Dari : Utusan Online

No comments:

Post a Comment